Khamis, 21 Ogos 2014 | 1:45pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek diberi penerangan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengenai perjalanan upacara Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA

MH17: Waktu bertafakur seluruh negara bermula seawal 10.30 pagi

SEPANG: Waktu bertafakur sempena ketibaan 20 jenazah mangsa nahas MH17 untuk seluruh negara dijangka bermula seawal jam 10.30 pagi esok, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata waktu itu ditetapkan selepas mendapati urusan untuk menurunkan jenazah daripada pesawat yang tiba jam 9.45 pagi mengambil masa 30 hingga 45 minit.

"Selepas raptai pagi ini, kita dapati ada perubahan waktu dalam menguruskan jenazah yang tiba menerusi pesawat khas.

"Jadi, kita tetapkan waktu bertafakur seluruh negara bermula seawal 10.30 pagi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 , di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebentar tadi.

Beliau juga meminta orang ramai supaya mengikuti siaran langsung di televisyen dan radio bagi mendapatkan maklumat tepat bagi waktu berlepas dan ketibaan pesawat.

"Pada waktu berkenaan, rakyat Malaysia di seluruh pelusuk negara diminta menghentikan sebentar perbuatan dan kerja masing-masing bagi bersama-sama berdoa dan bertafakur. Rakyat yang beragama Islam disarankan membaca surah Al-Fatihah manakala yang bukan Islam pula berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing," katanya.

Berita Harian X