Rabu, 20 Julai 2016 | 8:56pm

Untung I-Bhd naik 162.2 peratus kepada RM23.6j


PENGERUSI Eksekutif I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong.

KUALA LUMPUR: I-Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai RM39.7 juta bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2016, berbanding RM22.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh dikaji, pendapatan pemaju induk perbandaran i-City itu meningkat kepada RM167.1 juta daripada RM128.1 juta yang diraih pada tempoh sama berakhir 30 Jun 2015.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2016, ia mencatat keuntungan sebelum cukai RM23.6 juta, peningkatan ketara 162.2 peratus berbanding RM9 juta pada suku sama tahun lalu.

Prestasi kukuh itu disumbangkan oleh pendapatan yang melonjak 64.5 peratus kepada RM86.7 juta daripada RM52.7 juta pada suku sama 2015.

Pengerusi Eksekutif I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, berkata keuntungan itu disumbangkan terutama dalam segmen pembangunan hartanah oleh jualan yang tinggi dan penyiapan pembinaan pelbagai projek di i-City.

"Kedua-dua jualan dan pemilikan di i-City cukup menggalakkan. Jualan hartanah bagi separuh pertama 2016 adalah 57 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, syarikat itu juga sudah mencatatkan 80 peratus jualan untuk unit kediaman plot dua siri berorientasikan gaya hidup yang sedang dalam pembinaan.

"Selain itu, kami menjangka penyerahan kunci kepada semua pemilik 956 unit 43 tingkat i-SOHO yang terletak bersebelahan i-Suite pada akhir tahun ini," katanya.

Bersandarkan prestasi terkini itu, I-Bhd berada pada landasan tepat untuk meraih keuntungan daripada nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM9 bilion di kawasan seluas 29.1 hektar di perbandaran itu apabila semua projeknya berjalan lancar walaupun prospek bagi sektor hartanah suram.

Dengan hanya 10 peratus daripada RM9 bilion GDV ketika ini, i-City dijangka mencapai pertumbuhan memberangsangkan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Berita Harian X