Rabu, 20 Julai 2016 | 9:55pm

2 pelumba trek elit kuasai 200m

MUHAMMAD Shah Firdaus (kanan) dan Farina Shawati menunjukkan pingat emas yang dimenangi untuk acara 200 meter pecut pada SUKMA di Jalan Samariang-FAC, hari ini. - Foto BERNAMA

KUCHING: Dua pelumba trek elit negara yang berpangkalan di Melbourne, Australia, mempamerkan kayuhan cemerlang apabila mengungguli acara 200 meter pecut berbasikal lelaki dan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Jalan Sameriang, di sini, hari ini.

Muhammad Shah Firdaus Shahrom dan Farina Shawati Mohd Adnan, masing-masing mewakili Johor dan Selangor, berjaya mengetepikan pencabar mereka pada aksi final acara berkenaan yang membabitkan dua pusingan.

Muhammad Shah Firdaus yang membuat penampilan terakhir pada edisi kali ini, menewaskan wakil Selangor, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin menerusi catatan 11.367 saat pada pusingan pertama dan 12.309 saat di pusingan kedua.

Farina Shawati pula mengetepikan saingan sengit rakan sepasukan, Nurul Alissa Mohamad Azman selepas melakar catatan 13.261 saat pada pusingan pertama dan 13.440 saat di pusingan kedua.

Pingat gangsa acara lelaki dan wanita, masing-masing dimenangi Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor dan pelumba Terengganu, Zulaikha Mat Yusof.

Muhammad Shah Firdaus yang ditemui pemberita selepas perlumbaan itu mendedikasikan pingat tersebut kepada kedua ibu bapanya, rakan sepasukan serta Majlis Sukan Negeri Johor yang banyak memberi bantuan dari segi moral dan kewangan.

"Alhamdulillah di atas kemenangan ini kerana saya sudah membuat persediaan rapi sekembali dari Melbourne.

"InsyaAllah, saya akan berusaha memberi persembahan terbaik bagi meraih pingat emas kedua dalam acara 1km ujian masa individu lelaki esok," kata Muhammad Shah Firdaus yang akan menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Piala Dunia di Glasgow, Scotland pada November ini.

Pengurus skuad berbasikal Sukma Johor, Laili Yusof pula memuji kayuhan cemerlang dipamerkan pelumba berusia 21 tahun itu yang menjadi taruhan utama Persatuan Berbasikal Johor bagi menambah emas kedua dalam acara 1km ujian masa individu lelaki.

"Sebenarnya, kita memang mengharapkan kepada Muhammad Shah Firdaus untuk meraih emas kerana sudah 12 tahun kita kemarau pingat emas dalam acara berbasikal pada Sukma," katanya.

Farina Shawati, 20, pula mengharapkan kejayaan emas pada hari ini menjadi pembakar semangat untuknya menambah pingat emas kedua dalam acara 500 meter ujian masa individu wanita, esok.

"Persatuan Berbasikal Selangor meletakkan sasaran dua emas kepada saya dan saya berharap dapat mencapai sasaran tersebut," jelas Farina Shawati.

Beliau meraih dua emas dalam acara sama pada Sukma 2014 di Perlis serta satu perak dalam acara 500m ujian masa individu wanita pada Sukma 2012 di Pahang.

-- BERNAMA

Berita Harian X