Rabu, 20 Julai 2016 | 10:15pm

Cucu Alfred Jabu curi tumpuan gimrama SUKMA


ALFRED Jabu bersama cucunya Emile yang memenangi pingat gangsa dalam acara belantan gimrama individu pada SUKMA di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan hari ini. Turut hadir isterinya, Datuk Seri Empiang Jabu (kiri). - Foto BERNAMA

KUCHING: Selain kejayaan skuad gimnastik berirama Wilayah Persekutuan menyapu bersih semua pingat emas ditawarkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA ke-18 di sini, aksi gimnas cilik tuan rumah, Emile Nara Zi Yi Jabu turut mencuri perhatian.

Gimnas berusia 13 tahun itu adalah cucu kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan itu, Alfred dan isterinya, Datuk Seri Empiang Jabu turut hadir untuk memberi sokongan moral kepada cucu mereka itu.

Pelajar Sekolah Persendirian St Joseph di sini, mula menceburi sukan gimrama sejak berusia sembilan tahun.

Ketika ditemui Bernama, Emile berkata skuad gimrama Sarawak telah menjalani latihan sejak enam bulan lepas, termasuk dua bulan latihan intensif dalam persediaan untuk menghadapi Sukma kali ini.

"Saya tahu persaingan di sini sangat sengit dan kami semua terpaksa bersaing dengan gimnas dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak," katanya, yang menjadikan ketua jurulatih skuad gimrama Sarawak, Shaleen Tay sebagai idolanya.

Emile hari ini berkongsi pingat gangsa dalam aparatus belantan selepas mendapat 12.750 mata.

Untuk aparatus individu, Emile turut bertanding dalam acara bola dan gelung.

Sementara itu bapanya, Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri Layar, yang turut sama datang memberi sokongan moral, berkata beliau tidak keberatan untuk membenarkan anaknya menyertai skuad pelapis kebangsaan.

"Kalau sumbangan dia diperlukan oleh negara, itu tidak salah. Malah ia sesuatu yang membanggakan. Bagaimanapun, terpulanglah kepada dia," katanya.

Dalam pada itu Shaleen, yang juga bekas atlet kebangsaan berkata persaingan gimrama begitu sengit, bagaimanapun gimnas Sarawak masih baharu dalam temasya Sukma dan terpaksa berdepan dengan gimnas kebangsaan yang lebih berpengalaman. - BERNAMA

Berita Harian X