Rabu, 20 Julai 2016 | 11:55pm

Selangor kempunan, Kedah, Terengganu pula ceria


PEMAIN Selangor, Mohd Raimi Mohd Nor (kanan) cuba menghalang pemain Kelantan, Wan Zack Haikal Wan Masor pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Selangor terpaksa berpuas hati dengan hanya satu mata apabila mempersiakan kelebihan tiga gol untuk seri 3-3 dengan Kelantan dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Juara bertahan itu mendahului 1-0 menerusi Mauro Olivi pada minit ke-29 dan kelebihan itu terus dipertahankan menerusi jaringan kedua Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-38.

Wander Luiz Junior merapatkan jurang gol sejurus sebelum berakhir babak pertama buat Kelantan, namun Patrick Ronaldinho kembali meletakkan pasukannya di depan selepas empat minit babak kedua.

Kelantan yang tidak berputus asa merapatkan kedudukan menerusi Wan Zack Haikal pada minit ke-72 sebelum Manaf Mamat menceriakan pelawat menerusi jaringan terakhir pada masa tambahan untuk kedudukan 3-3.


PEMAIN T-Team, Patrick Dos Santos Cruz (kanan) cuba dihalang pemain Kedah, Mohd Rizal Ghazali (kiri) pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini. - Foto Aswadi Alias

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, ketumpulan jentera serangan memaksa T-Team menggigit jari apabila tunduk 0-2 di tangan Kedah dalam aksi Kumpulan A.

Smelts Shane Edward menjadi wira pasukan pelawat apabila meledak kedua-dua gol pada minit ketujuh dan 15.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, jaringan tunggal Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-49 sudah cukup untuk memberikan Terengganu tiga mata berharga ketika berdepan FELDA United dalam saingan Kumpulan D.


PEMAIN Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) diasak pemain FELDA United, Muhammad Shukor Adan (depan) pada aksi perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X