Khamis, 21 Julai 2016 | 12:12pm

Projek MRT Sungai Buloh-Kajang siap 86.25%


PENGARAH Operasi dan Pengurusan Aset Mass Rapid Transit Corporation, Mahmood Abdul Razak bercakap pada sidang media mengenai kemajuan projek MRT Sungai Buloh-Kajang Line di Pusat Maklumat MRT, Jalan Sultan Azlan Shah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Pembangunan projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) berjalan lancar dengan kerja utama projek disiapkan mengikut jadual.

Setakat Mei lalu, keseluruhan pembangunan projek jajaran SBK sudah mencapai 86.25 peratus siap, membabitkan laluan sejauh 51 kilometer (km) dan penyediaan 31 stesen.

Pengarah Operasi dan Bahagian Pengurusan Aset MRT Corp, Mahmood Abdul Razak, berkata setakat ini, semua kerja pembinaan awam bagi stesen bertingkat, landasan bertingkat dan seksyen landasan berjejambat sudah siap dibina.

Katanya, pihaknya kini menumpukan kerja pembinaan stesen dan pintu masuk serta pemasangan jejambat yang menghubungkan jalan dengan kemudahan di stesen.

"Kami yakin operasi MRT bagi fasa pertama akan mula beroperasi Disember ini membabitkan laluan dari stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan dengan 12 stesen.

"Bagi fasa kedua pula, ia akan dibuka keseluruhannya pada Julai tahun depan dari Stesen Sungai Buloh hingga ke Stesen Kajang," katanya kepada pemberita ketika sesi penerangan di sini, hari ini.

Mahmood berkata, bagi operasi fasa pertama, sebanyak 24 kereta api diperlukan dan ia sudah dihantar ke MRT Depot Sungai Buloh.

"Kita jangka memulakan percubaan terhadap operasi bagi fasa pertama pada 1 Oktober ini. Kita akan menempatkan 140 bas bagi kemudahan orang ramai bagi fasa pertama di seluruh 12 stesen," katanya.

Berita Harian X