Khamis, 21 Julai 2016 | 1:46pm

Bintang tempatan, antarabangsa semarakkan musim baharu MPO

TENGKU Irfan, Tamara wilson, Faizal Tahir dan Jacklyn Vicktor.

KUALA LUMPUR: Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menjanjikan muzik ekstravaganza melalui persembahan karya agung dan variasi genre muzik oleh artis terkemuka pada musim terbaharu bermula September depan.

Musim 2016/17 bakal menyaksikan MPO kekal dengan matlamat asal menghidangkan muzik klasikal terbaik dan membawa seni ke peringkat lebih tinggi.

Ia turut menyaksikan kehadiran dua konduktor residen, Harish Shankar dan Naohisa Furusawa, yang akan mengendalikan persembahan sekali gus memberi hala tuju artistik serta inspirasi bagi membuka lembaran baharu buat MPO.

Musim ini juga akan dimulakan buat julung kali dengan konsert bertemakan A Musical Journey In Anime bersama muzik ciptaan Joe Hisaishi. Beliau terkenal dengan ciptaan sejumlah 100 skor filem termasuk kolaborasi dengan Studio Ghibli. Saksikan kehebatan konsert 'fusion' muzik klasikal Jepun, Barat dan elektronik.

Masih segar melalui konsert 'tribute' untuk Queen pada musim lalu, kali ini DFP menampilkan kumpulan dari Ireland, U2. Mereka antara kumpulan rock terkemuka dunia yang pernah mencatatkan jualan album sebanyak 150 juta keping dan ditempatkan dalam Rock And Roll Hall Of Fame. Brent Havens turut kembali ke DFP untuk memimpin MPO dalam konsert yang akan menampilkan vokalis Brody Dolyniuk.

Antara kumpulan koir terkenal dunia, Choir of Clare College dari Universiti Cambridge, England, juga dijadualkan membuat persembahan sulung, berkolaborasi dengan MPO dan konduktor Graham Ross. MPO akan bersama-sama meraikan ulang tahun pemergian Shakespeare yang ke-400 tahun pada Oktober depan menerusi konsert bertemakan If Music Be The Food Of Love: Celebrating Shakespeare.

Seterusnya, khalayak akan dihidangkan dengan siri konsert The Brandenburg Concertos pada Mac tahun depan, yang akan melengkapkan kesemua enam 'concerto' ciptaan Bach. Sebuah lagi program kemuncak musim ini ialah konsert bertemakan Symphonic Pink Floyd, juga pada Mac 2017.

Peminat teater muzikal pula tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan konsert bertemakan The Best Of Rodgers & Hammerstein pada Jun 2017 di mana MPO akan mempersembahkan muzik terbaik dari dua tokoh Broadway tersohor yang mencipta lagu untuk muzikal antaranya Oklahoma! dan South Pacific.

Persembahan lain termasuklah Mozart's The Magic Flute pada Januari 2017. Ia sebuah opera yang menampilkan muzik indah dan diserikan dengan penampilan ramai penyanyi serta kumpulan Kuala Lumpur City Opera Chorus. Tidak ketinggalan artis klasikal seperti pemain biola, Nemanja Radulovic; pemain piano, David Fray; pemain serunai, Andrea Oliva; pemain harp, Leonard Jacome; penyanyi soprano, Tamara Wilson; penyanyi bariton, Matthias Goerne; dan penampilan konduktor Michael Woods, Carl St Clair dan Rossen Milanov.

Dalam pada itu, konduktor ternama seperti Vladimir Ashkenazy, Yoel Gamzou, Gerard Salonga, Kolja Blacher, Gabor Takacs-Nagy, Roberto Abbado dan Guillaume Tournaire akan kembali untuk mempesonakan penonton. Pemain piano muda negara, Tengku Irfan dan Stephen Hough juga bakal meneruskan tradisi menghiburkan khalayak pada musim kali ini.

Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia juga bakal mempamerkan kredibiliti dalam beberapa konsert termasuk sebuah persembahan bersama Orkestra Remaja Kebangsaan Singapura pada Disember depan.

Siri 'Specials' pula menyenaraikan konsert menarik menampilkan artis tempatan seperti Hands Percussion (September 2016), kumpulan Akim & The Majistret (Februari 2017) dan konsert istimewa Aubrey Suwito & Friends With The MPO - A Celebration Of 30 Years In Music (Mei 2017) menampilkan vokalis Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor dan Sean Ghazi.

Pelancaran pakej konsert untuk pelanggan tetap DFP/MPO akan diadakan pada Sabtu, 30 Julai ini. Penjualan tiket 'single' bermula pada jam 3.00 petang hari yang sama. Untuk menjadi pelanggan tetap, boleh membeli lima tiket melalui siri konsert (Classical, Specials, Pops dan Family Fun Day) dan akan mendapat potongan sebanyak 20 peratus.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Box Office di talian 03-23317007 atau email [email protected] atau layari laman web www.mpo.com.my.

Berita Harian X