Khamis, 21 Julai 2016 | 8:54pm

Anak Che Ta lebih tertarik dengan tas tangan

KUALA LUMPUR: Jika kanak-kanak seusianya gembira setiap kali melangkah ke kedai permainan, situasi agak berbeza bagi puteri Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana, 18 bulan, yang lebih tertarik dengan tas tangan.

Rozita berkata, puterinya itu kurang gemar dengan alat permainan, tetapi akan leka apabila memasuki kedai menjual tas tangan setiap kali keluar bersamanya.

"Saya mulanya tidak perasan. Namun, pada satu hari apabila keluar dengan saya, dia sangat gembira sebaik saja kami melangkah ke dalam kedai tas tangan. Aaisyah beriya-iya mahukan tas tangan yang dipamerkan.

"Memang sejak kecil Aaisyah tidak tertarik dengan alatan permainan yang diterima atau yang kami belikan," katanya kepada BH pada majlis pelantikan Aaisyah sebagai duta sebuah produk penjagaan bayi, di sini, hari ini.

Rozita turut memberitahu, beliau memang ada membelikan beberapa tas tangan untuk anaknya itu untuk digayakan ketika keluar bersiar-siar atau bermain di rumah.

Beliau berkata, Aaisyah turut meminati kasut tumit tinggi dan akan menggayakan sepatu miliknya ketika bermain sendirian di rumah.

"Saya memang kena belikan dia tas tangan, jika tidak dia akan kacau beg saya. Lagipun, lumrah anak perempuan sukakan barangan perhiasan.

"Saya turut belikan dia kasut tumit tinggi ketika melancong ke Eropah, baru-baru ini. Aasiyah memang gembira apabila dihadiahkan kasut berkenaan," katanya.

Pengacara dan ahli perniagaan itu berkata, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan anak kecilnya dengan gajet yang popular dalam kalangan masyarakat hari ini.

"Saya memang tidak beri Aaisyah bermain dengan alat peranti kerana enggan mengganggu kesihatannya, terutama bahagian mata," kata wanita yang lebih mesra disapa Che Ta itu.

379 dibaca
Berita Harian X