Jumaat, 22 Julai 2016 | 1:02am

ISN kaji punca Khairul gagal kekal larian


KHAIRUL Hafiz ketika latihan persediaan bagi menyertai Kejohanan Remaja ASEAN di Vietnam, Mei lalu. - Foto Osman Adnan

PUTRAJAYA: Penurunan prestasi Khairul Hafiz Jantan dalam perlumbaan separuh akhir ketiga 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland, meresahkan Institut Sukan Negara (ISN).

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Mohd Khairi Zawi, berkata pihaknya akan menjalankan kajian bagi mengenal pasti punca pelari itu hanya mampu mencatat 10.58 saat berbanding 10.44 saat pada peringkat saringan.

Khairul Hafiz gagal ke peringkat akhir acara 100 m selepas menduduki tempat kelapan, sekali gus tidak dapat mengatasi pencapaian jaguh pecut negara, Azmi Ibrahim, yang turut sekadar mara ke separuh akhir kejohanan sama edisi 1994.

Seorang lagi pelari negara yang juga juara Sukan Sekolah-sekolah ASEAN, Badrul Hisyam Abdul Manap, gagal melepasi peringkat saringan apabila menduduki tempat kelima saringan keempat dengan catatan 10.66s.

Mohd Khairi tidak menolak kemungkinan punca atlet pecut negara mempamerkan aksi hambar adalah disebabkan faktor ketetapan matlamat.

"Apa yang saya boleh katakan Poland bukan keutamaan mereka pada awalnya, sekali gus menjurus kepada kelewatan penetapan matlamat.

"Bila ada keputusan pada saat akhir, ini mungkin memberi satu kesan kepada prestasi mereka," katanya.

Sebelum ini, kedua-dua atlet berkenaan telah menolak untuk beraksi di Poland kerana memilih temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak. - BERNAMA

Berita Harian X