Jumaat, 22 Julai 2016 | 11:01am

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Istiadat Mengarak Panji


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi tabik hormat pada Upacara Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan, Putrajaya, hari ini. Turut berkenan mencemar duli pada upacara itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, hari ini berangkat ke Istiadat Mengarak Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan hari keputeraan rasmi baginda.

Turut hadir pada istiadat yang julung kali diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hadir sama, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin.

Lima panji yang diarak pada hari ini ialah Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keberangkatan tiba pasangan diraja di Dataran Pahlawan Negara tepat jam 8.30 pagi disambut dengan nyanyian lagu Negaraku bersekali dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas bagi menerima tabik Hormat Diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai 23 pegawai dan 490 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Leftenan Kolonel Mohd Radzi Othman.

Pada masa sama, lima helikopter milik ATM iaitu Cougar, Super Lynx, Fennec, Agusta dan Sikorsky melakukan lintas hormat terbang di ruang udara Dataran Pahlawan Negara membawa bendera Malaysia, ATM, TUDM, TLDM dan Tentera Darat.

Gabungan Pancaragam Pusat ATM pimpinan Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya kemudiannya masuk membuka medan dengan persembahan rangkaian lagu patriotik.

Sejurus itu, istiadat mengarak Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mejar Jeneral Datuk Kamaruddin Mamat.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Tuanku Abdul Halim sekali lagi menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM bersekali dengan alunan lagu Negaraku.

Istiadat mengarak panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen Kor ATM sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang pasukan keselamatan itu kepada negara. - BERNAMA

Berita Harian X