Jumaat, 22 Julai 2016 | 10:12pm

Tuan Guru Haji Salleh tokoh ulama Kedah meninggal dunia

ULAMA ternama Kedah, Salleh Musa.
ULAMA ternama Kedah, Salleh Musa.

ALOR SETAR: Ulama ternama Kedah, Salleh Musa, 87, atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Salleh, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, akibat sakit tua, malam tadi.

Pembantu peribadinya, Khairul Nazwan Dzulqarnai, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.15 malam ketika sedang menerima rawatan di HSB.

Terdahulu, katanya arwah yang mengadu tidak sihat dibawa ke HSB kira-kira jam 7.30 malam menggunakan ambulans dari rumahnya di Madrasah Ar-Rahmaniah di Sik, dekat sini.

"Jenazah akan dibawa pulang ke Madrasah Ar-Rahmaniah malam ini dan akan dikebumikan esok," katanya.

Tuan Guru Haji Salleh yang pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pondok Kedah pada 2010 dianggap antara tokoh ulama ternama negeri, khususnya dalam bidang Tauhid sehingga sering kali menjadi rujukan banyak pihak.

Selain itu, arwah yang mendapat pendidikan awal di Pondok Pak Chu Him Gajah Mati di Pendang sebelum melanjutkan pelajaran di Darul Ulum di Makkah, turut menerima anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Kedah pada 2009 dan Tokoh Ilmuan Daerah Sik pada 2011.

Arwah juga mendalami ilmu di Masjidil Haram bersama ulama terkemuka seperti Syeikh Ismail Fatani, Syeikh Yassin Al Fadani, Syeikh Abd Qadir Mandili, Syeikh Syed Alawi Al Malikki dan Syeikh Syed Amin Qutubi.

Berita Harian X