Sabtu, 23 Julai 2016 | 7:20am
ANGGOTA polis dan bomba kelihatan berhampiran pusat beli belah lokasi berlakunya tembakan oleh seorang lelaki bersenjata di Munich. - Foto AFP

8 maut insiden lelaki bersenjata mengamuk di Munich


PEGAWAI polis mengawal pengunjung pusat beli belah dari serangan lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di Munich, awal pagi tadi. - Foto AFP

MUNICH: Lelaki bersenjata melepaskan tembakan di pusat beli belah yang sibuk di bandar ini pada awal pagi tadi menyebabkan sekurang-kurangnya lapan terbunuh dan pengunjung bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam serangan ketiga terhadap orang awam di barat Eropah dalam tempoh lapan hari.

Pihak berkuasa meminta orang awam supaya menjauhkan diri dari jalan raya ketika bandar ketiga Jerman itu tersekat dengan kesesakan lalu lintas dan lebuh raya ditutup.

Jurucakap polis berkata, tiga lelaki bersenjata melarikan diri selepas kejadian itu.

Darurat diisytiharkan di bandar raya itu ketika polis memburu penjenayah berkenaan dan pasukan khas dihantar ke situ.

"Kami beritahu orang ramai di Munich bahawa ada penembak yang melarikan diri dan mereka berbahaya. Kami menggesa orang ramai supaya duduk di rumah," katanya.

Polis berkata, lapan mati dan jumlah yang cedera belum dapat dipastikan.

Mayat kesembilan turut dijumpai kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan mereka sedang memeriksa sama ada ia adalah salah seorang penembak.

Akhbar TZ Munich berkata, salah seorang penyerang ditemui mati.

Majalah Jerman, Focus pula berkata, seorang penyerang menembak dirinya di kepala.

Ketika babak cemas insiden itu, pengunjung yang berada di pusat beli belah Olympia bertempiaran lagi menyelamatkan diri dan sebahagian lagi menyorok.

"Banyak das tembakan dilepaskan, saya tidak pasti berapa tapi banyak," kata seorang pekerja yang bersembunyi dalam bilik stor di pusat beli belah itu. - Reuters

Berita Harian X