Ahad, 24 Julai 2016 | 1:32pm

Hanez Suraya kurangkan lakonan, fokus pada anak

HANEZ Suraya dan suami, Romie Razin Adilha bahagia dengan kehadiran Putri Aleesya.

PASIR MAS: Kehadiran cahaya mata pertama, Putri Aleesya Romie Razin Adilha memberi tanggungjawab yang baharu buat pelakon, Hanez Suraya untuk lebih fokus kepada puteri sulongnya itu.

Hanez akui sudah lama tidak muncul dalam bidang lakonan dan memilih untuk memberi lebih masa dan perhatian kepada anak dan keluarga kecilnya.

"Saya gembira dapat luangkan sepanjang masa bersama Aleesya. Dia sangat manja dengan saya dan saya sendiri tak boleh berenggang dengannya.

"Aleesya anak yang baik, tidak mudah meragam dan memudahkan kerja saya. Sekarang Aleesya dah berusia enam bulan, dia dah mula belajar merangkak dan saya teruja melihat Aleesya membesar dengan aktif.

"Saya sendiri yang akan memberi susu, makan dan mandikan Aleesya walaupun saya ada pembantu. Bagi saya semua itu, boleh dekatkan lagi saya dengan anak supaya kasih sayang tu lebih erat.

"Saya dan suami cuba memberi didikan terbaik buat Aleesya. Kalau boleh, kami tak nak dia terbabit dalam bidang lakonan seperti saya dan dari awal lagi kami didik Aleesya dengan buku dan bahan berilmiah," katanya ketika ditemui BH di sambutan Majlis Aidilfitri sempena program Jelajah FarraBeauty

Hanez dipilih sebagai duta Farra Beauty kini sibuk dengan program Jelajah Farra Beauty ke negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan.

"Saya berterima kasih kepada pengasas Farra Beauty, Nur Farrahiyah Kamal Bharin, kerana mempercayai saya sebagai duta produk ini.

"Sebelum ini saya sendiri ada masalah kulit muka, Alhamdulillah produk Farra Beauty membantu mengatasi masalah saya, dan sekarang saya rasa lebih yakin untuk bertemu peminat.

"Walaupun saya sibuk dengan program ini, saya turut membawa Aleesya bersama kerana bimbang dan tidak boleh berjauhan dengannya," kata Hanez atau nama sebenar Hanez Suraya Abdul Aziz, 30.

Berita Harian X