Isnin, 25 Julai 2016 | 2:52pm

MAIK terima zakat perniagaan RM110,000 Celcom Axiata

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerima zakat perniagaan lebih RM110,000 daripada Celcom Axiata Berhad di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata kini kutipan zakat semasa MAIK berjumlah lebih RM93 juta manakala jumlah agihan yang dibelanjakan pula lebih RM91 juta.

Katanya, kutipan zakat yang diperoleh MAIK daripada zakat perniagaan, zakat fitrah, zakat harta, zakat pendapatan, zakat emas dan zakat pertanian.


PENGURUS Jualan Wilayah Timur, Norazri Daud (empat kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi (empat kanan) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Celcom Axiata di Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin

"Menerusi kutipan MAIK, wang zakat yang diperoleh itu disalurkan kepada golongan lapan asnaf menerusi 19 program yang diwujudkan termasuk bantuan bulanan fakir miskin, bantuan persekolahan dan rumah kediaman selain bantuan kepada sekolah pondok dan biasiswa pelajar miskin.

"Yang Dipertua MAIK, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra sentiasa cakna berhubung pengagihan zakat yang mahu MAIK berusaha melakukan yang terbaik supaya agihannya sampai kepada kumpulan sasaran," katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Celcom Axiata yang disampaikan Pengurus Jualan Wilayah Timur, Norazri Daud.

Sementara itu, Norazri berkata, sumbangan zakat perniagaan itu adalah bagi tempoh kewangan yang berakhir pada tahun 2015.

Berita Harian X