Selasa, 26 Julai 2016 | 12:10am
KERATAN akhbar BH berkenaan koc merah jambu pada April 2010.
KERATAN akhbar BH berkenaan koc merah jambu pada Mei 2010.

Penceroboh koc merah jambu KTM komuter perlu dihukum


KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun Koc Merah Jambu diperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter untuk penumpang wanita sekitar Lembah Klang, kemudahan itu masih menjadi sasaran pencerobohan masuk golongan lelaki.

Sama ada perbuatan mereka disengajakan atau sebaliknya oleh golongan lelaki, hakikatnya di setiap stesen, koc merah jambu iaitu koc tiga dan empat akan berhenti pada ruang ditetapkan untuk dimasuki penumpang wanita sahaja.

Malah, dalam koc terbabit juga ditampal peringatan bahawa kemudahan itu dikhususkan untuk penumpang wanita sahaja.

Tinjauan BH mendapati, kebanyakan lelaki yang memasuki koc merah jambu terbabit, sedar perbuatan mereka memasuki kemudahan yang dikhususkan untuk wanita.

Namun, mereka menunjukkan sikap tidak peduli, seolah-olah tiada rasa bersalah menggunakan kemudahan terbabit, meskipun kehadiran mereka dipandang jengkel oleh penumpang wanita yang bimbang untuk menegur.


KOC Merah Jambu diperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter untuk penumpang wanita.

Tinjauan BH secara menaiki KTM Komuter bagi laluan KL Sentral-Pelabuhan Klang dan KL Sentral-Tanjung Malim, mendapati ramai dalam kalangan penumpang lelaki yang menceroboh itu terdiri daripada warga asing.

"Pencerobohan penumpang lelaki dalam koc wanita ini sering berlaku pada waktu puncak antara jam 8 hingga 10 pagi serta 5 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.

"Ketika itu, kami selaku kakitangan pun tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghalang kerana kesesakan penumpang yang ramai," kata seorang kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang hanya mahu dikenali sebagai Irfan.

Beliau berkata, biasanya kakitangan KTMB yang bertugas sama ada di dalam tren atau kaunter stesen akan menasihati penumpang lelaki supaya menghormati peraturan agar tidak memasuki koc wanita.

Namun, perkara itu katanya, tidak dapat dihindari selaki ada penumpang lelaki bersikap tidak mengendahkan larangan terbabit.


TINJAUAN BH mendapati, kebanyakan lelaki yang memasuki koc merah jambu sedar perbuatan mereka memasuki kemudahan yang dikhususkan untuk wanita.

Sementara itu, jurucakap KTMB mengakui, kemasukan penumpang lelaki ke dalam koc merah jambu masih menjadi isu terutama pada waktu puncak atau cuti umum.

"Dalam keadaan ramai penumpang beratur menaiki KTM Komuter, ada kalanya suasana menjadi tidak terkawal, ketika itu ada penumpang lelaki turut menyelit ke dalam koc wanita.

"Kami ada meletakkan kakitangan untuk mengawasi keadaan, namun bukanlah sepanjang masa, jadi ketika itu, ada yang mengambil kesempatan memasuki koc wanita," katanya.

Beliau mengakui, setakat ini belum ada tindakan undang-undang diambil terhadap penumpang lelaki yang memasuki koc wanita kerana proses yang rumit.

"Untuk mengambil tindakan undang-undang, Akta Keretapi 1991 perlu dipinda dengan memasukkan peruntukan bagi tujuan pendakwaan.


ANTARA penumpang yang tidak mempedulikan tanda peringatan koc penumpang wanita.

"Akta ini perlu diperhalusi kerana membabitkan penumpang warga asing yang berpura-pura tidak faham bahasa dan tidak tahu peraturan," katanya.

Jurucakap itu mengakui, koc wanita diperkenalkan oleh KTMB sejak 2011 sebagai cara memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dalam keadaan bersesak-sesak.

Kuala Lumpur: Pencerobohan penumpang lelaki ke dalam Koc Merah Jambu dikhususkan untuk penumpang wanita yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter perlu dihentikan dengan penguatkuasaan undang-undang.

Sementara itu, penumpang wanita yang ditemui mendakwa, selagi tiada ketegasan oleh KTM Berhad (KTMB), perbuatan tidak menghormati kemudahan khas itu akan berleluasa.

Suri rumah, Fatin Syazwina Abd Syukor, 31, berkata senario berkenaan seharusnya dihentikan supaya golongan wanita dapat menikmati perjalanan lebih selesa dengan jaminan keselamatan yang baik.


SETAKAT ini belum ada tindakan undang-undang diambil terhadap penumpang lelaki yang memasuki koc wanita kerana proses yang rumit.

"Sekarang ini ia dicemari dengan sikap penumpang lelaki yang tidak mahu memberi kerjasama terutama warga asing.

"Lebih dikesali, ada juga kalangan penumpang wanita yang membawa pasangan memasuki koc wanita kerana mahukan keselesaan.

"Mereka ini seolah mengambil kesempatan dan pada masa sama teman lelaki pula bermuka selamba seperti tidak rasa bersalah berada dalam koc wanita

"Penumpang berpasangan seharusnya menggunakan gerabak biasa dan bukannya mengambil kesempatan untuk berdua-duaan walaupun koc ini ada kalanya kurang penumpang dan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka berada di dalam koc ini" katanya.

Kakitangan swasta, Rosmaria Daud, 34, mahu KTMB mengenakan tindakan lebih tegas bagi memastikan tiada penumpang lelaki memasuki koc berkenaan.

"Mungkin hukuman denda, dapat menghalang perkara ini daripada berulang. Petugas KTMB perlu melakukan pemantauan dalam tren dan platform komuter khas wanita bagi memastikan penumpang lelaki tidak berada di situ.

"Saya berasa, penumpang wanita tidak berani berkata sesuatu atau mengarahkan penumpang lelaki untuk beredar bimbang terjadi apa-apa, jadi mahu tak mahu kami terpaksa bersabar dengan keadaan ini," katanya.

Beliau berkata, kemudahan koc wanita adalah lebih selamat sekiranya pemantauan dilakukan dan ia seharusnya dilakukan dengan kerap kerana mungkin sehari dua selepas pemantauan keadaan akan berubah, tetapi selepas itu akan kembali seperti biasa.

Ia perlu dilakukan bukan saja bagi memberi keselesaan kepada golongan wanita sebagaimana objektif ia dilaksanakan tetapi juga bagi mengelakkan daripada gangguan seksual terutama dalam keadaan sesak dan berhimpit-himpit.

20 dibaca
Berita Harian X