Selasa, 26 Julai 2016 | 8:51am

Tiga penuntut IPTA ditahan miliki dadah

KUCHING: Polis Sarawak menahan tiga penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, Jumaat lalu selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Difahamkan, tiga penuntut berusia antara 20 hingga 23 tahun itu termasuk seorang wanita, ditahan dalam serbuan di rumah sewa mereka oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan plastik mengandungi tiga ketulan mampat daun kering seberat 266.37 gram dipercayai ganja disembunyikan dalam beg galas.

Sumber berkata, polis turut menemui sebuah lagi beg mengandungi sembilan paket plastik lut sinar berisi ganja seberat 100.89 gram selepas menggeledah rumah berkenaan.

"Ini kes ketiga membabitkan penuntut IPTA di negeri ini yang disyaki terbabit dalam kes pemilikan, pengedaran dan penagihan dadah selepas dua kes terdahulu membabitkan pelajar asing," katanya.

Hasil siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki yang ditahan juga positif dadah jenis amphetamin.

Semua suspek yang berasal dari Kuching, Kota Samarahan dan Bintulu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Lukas Aket dijangka mengadakan sidang media hari ini bagi memaklumkan perkembangan kes berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X