Rabu, 27 Julai 2016 | 12:08am
LAPORAN BH berhubung isu koc wanita KTM Komuter yang masih diceroboh penumpang lelaki.
KTMB perlu mengambil langkah supaya koc dikhaskan untuk penumpang wanita tidak terus diceroboh.
PRESIDEN KTMB, Datuk Sarbini Tijan. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENUMPANG perlu memainkan peranan dan menghormati hak penumpang lain.
KOC Merah Jambu diperkenalkan KTM Komuter, bagi memenuhi keperluan 98,000 penumpang wanita setiap hari - Foto Saddam Yusoff

Denda akan dikenakan, Polis Bantuan KTMB awasi koc wanita


KUALA LUMPUR: KTM Berhad (KTMB) sedang merangka undang-undang bagi mengenakan denda terhadap lelaki yang menggunakan Koc Merah Jambu perkhidmatan KTM Komuter, yang dikhaskan untuk penumpang wanita.

Presiden KTMB, Datuk Sarbini Tijan, berkata pihaknya sedang berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi membolehkan undang-undang berkaitan, diwujudkan dalam masa terdekat.

Katanya, apabila diluluskan, penumpang lelaki yang masih berdegil menggunakan koc wanita, akan diambil tindakan serta merta sebagai peringatan dan pengajaran.

"KTMB memandang serius perbuatan menggunakan Koc Merah Jambu tanpa kebenaran hingga menimbulkan rasa kurang senang penumpang wanita, khususnya membabitkan warga asing," katanya.

Beliau mengulas pendedahan Halaman Kota BH semalam, berhubung perbuatan menyalah gunakan koc khas untuk wanita dalam perkhidmatan KTM Komuter oleh penumpang lelaki, walaupun kemudahan itu sudah enam tahun diperkenalkan.

Antara punca dikenal pasti BH terhadap masalah itu adalah tiada peruntukan undang-undang tegas yang dikenakan terhadap penumpang lelaki yang menceroboh koc berkenaan.


PENUMPANG lelaki tidak mempedulikan notis mengenai koc penumpang wanita.

Selain itu, pengguna mendakwa, tiadanya pemantauan kerap di setiap stesen menyebabkan penumpang lelaki mengambil kesempatan menggunakan koc khusus untuk wanita tanpa ada rasa bersalah.

Sarbini berkata, pihaknya kini sedang berusaha menambah anggota Polis Bantuan KTMB di setiap stesen bagi memantau koc wanita daripada terus diceroboh.

"Penambahan anggota keselamatan ini diharap dapat menambah mutu perkhidmatan koc wanita kerana bagi penumpang lelaki atau golongan penumpang lain seperti mereka yang berkeluarga banyak koc yang boleh mereka gunakan," katanya.

Katanya lagi, kerjasama dan kesedaran dalam kalangan masyarakat juga penting kerana pihaknya sukar menempatkan kakitangan dalam setiap koc wanita memandangkan bilangan mereka yang tidak mencukupi selain jumlah perjalanan melebihi 200 sehari.

"Ketika ini, kami hanya boleh meminta pengguna memahami dan mematuhi peraturan bahawa koc wanita hanya untuk golongan itu. Penumpang perlu memainkan peranan dan menghormati hak orang lain," katanya.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan sikap pengguna pengangkutan awam yang memiliki mentaliti 'kelas ketiga' dan sukar dididik untuk mematuhi peraturan koc untuk wanita seharusnya dikenakan tindakan kompaun atau denda serta-merta.


PERBUATAN menggunakan koc wanita tanpa kebenaran boleh menimbulkan rasa kurang senang penumpang wanita.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata sikap penumpang yang tidak bertanggungjawab dan tidak tahu menghormati peraturan, antara punca berlakunya pelbagai bentuk masalah.

Katanya, tanda peringatan seperti pelekat ditampal pada koc terbabit dan pengumuman dibuat sebagai peringatan kepada pengguna lelaki sudah mencukupi untuk mendidik masyarakat.

"Namun, setakat ini kedua-dua langkah ini masih belum mencukupi untuk memberi kesedaran kepada mereka. Justeru, tindakan tegas seperti kompaun dan denda harus dilaksanakan bagi menghentikan masalah ini.

"Selain itu, KTMB juga perlu meletak tanda yang lebih jelas seperti peraturan kecil yang menunjukkan ia adalah koc yang dikhaskan untuk wanita," katanya ketika dihubungi, BH, di sini, semalam.

Presiden Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis, Low Ngai Yuen, mencadangkan penceroboh koc wanita dikenakan kompaun atau denda dalam bentuk khidmat masyarakat.

Katanya, tindakan itu perlu supaya pengguna lelaki lebih menghormati kemudahan tambahan bagi keselesaan pengguna wanita itu.


TIADA pemantauan yang kerap di setiap stesen juga menyebabkan penumpang lelaki mengambil kesempatan menggunakan koc khusus untuk wanita tanpa ada rasa bersalah.

"Selain itu, orang ramai yang melihat pengguna lelaki di dalam Koc Merah Jambu, juga seharusnya menegur perbuatan terbabit kerana ia diperuntukkan untuk wanita," katanya.

Timbalan Presiden, Pertubuhan Inisiatif Pembangunan dan Kemajuan Wanita Selangor dan Kuala Lumpur (WIRDA), Faridah Abdul Karim, mencadangkan KTMB menggunakan pendekatan mendidik berbanding mendenda kerana kebanyakan penumpang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kempen kesedaran seharusnya merangkumi semua golongan kerana sebahagian masalah ini berpunca daripada sikap penumpang wanita sendiri yang tidak mahu memenuhi koc khas, justeru kaum lelaki tidak mempunyai pilihan selain memasuki koc wanita setelah koc umum penuh.

"Bagi pengguna lelaki pula, mereka seharusnya lebih hormat dan prihatin terhadap hak wanita kerana ia adalah tanggungjawab semua. Jadikanlah budaya tidak melanggar hak wanita ini sebagai budaya kerana ia bertujuan melindungi golongan yang lemah daripada sebarang risiko termasuk gangguan seksual serta bersesak dan bergesel dengan penumpang lelaki," katanya.

Koc Merah Jambu khusus untuk wanita, diperkenalkan KTMB bagi memenuhi permintaan 60 peratus penumpangnya atau kira-kira 98,000 wanita setiap hari, selain bertujuan menjamin keselamatan serta keselesaan mereka.

28 dibaca
Berita Harian X