Rabu, 27 Julai 2016 | 10:45pm

MYCorps diteruskan di negara membangun, bergolak


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bergambar bersama orang ramai pada majlis Penutupan Program MYCorps Siri 1/2016 di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini. - FOto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan merancang meneruskan program MYCorps dengan menghantar 50 sukarelawan Malaysia ke Sri Lanka untuk misi kemanusiaan pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata beliau turut merancang menghantar sukarelawan negara yang terdiri daripada belia membantu masyarakat di negara membangun dan wilayah bergolak seperti Syria, Lubnan dan Myanmar.

Katanya, ia susulan kejayaan sukarelawan MYCorps, yang dihantar ke Kemboja pada tahun ini membuktikan program yang mendapat kritikan ketika ia dicadangkan itu bukan saja mengubah kehidupan masyarakat di negara itu, malah mereka yang menyertai program berkenaan.

"Saya bangga dengan sukarelawan MYCorps yang membantu membina kemudahan seperti tandas, tangki air, taman permainan serta mengajar Bahasa Inggeris sepanjang tempoh tiga bulan ditempatkan di Kemboja.

"Tempoh tiga bulan memerlukan komitmen yang sangat tinggi, apatah lagi mereka ditempatkan di kawasan yang sangat daif, tandas yang tiada sistem kumbahan stabil, sekolah tiada bekalan elektrik, malah di pekarangan sekolah ada kandang haiwan.

"Saya percaya belia Malaysia memiliki semangat untuk melakukan perubahan kepada dunia, namun kerajaan perlu menyediakan platform kepada mereka.

"Perkara lebih penting adalah mereka mereka bukan sekadar mengubah kehidupan penduduk di Kemboja, tetapi turut mengubah kehidupan sukarelawan kita yang dihantar menyertai misi ini," katanya ketika merasmikan majlis Penutupan Program MYCorps Siri 1/2016 di Pusat Belia Antarabangsa, di sini, hari ini.

Seramai 50 sukarelawan MYCorps terdiri daripada belia berusia 18 tahun hingga 30 tahun pelbagai bangsa dan latar belakang dihantar ke Kemboja pada 8 Mei sehingga 24 Julai lalu bagi menjalankan misi kemanusiaan di Smile Village dan Kampung Chhnang di negara itu.

Antara khidmat sukarelawan MYCorps adalah membina lima sistem tuaian air hujan serta 25 tandas di lima sekolah di kawasan berkenaan.

Misi itu bertujuan membantu meningkatkan kualiti sanitasi atau sistem pengurusan kebersihan di kawasan berkenaan, selain menyuntik sentimen kesedaran bagi menyelami isu rakyat negara ASEAN yang masih memerlukan bantuan.

Berita Harian X