Khamis, 28 Julai 2016 | 12:48pm

Black sedia dikritik sertai Lawak Vaganza

PENYANYI, Black.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Black menjelaskan beliau tidak ralat sekiranya dikritik oleh masyarakat sebaik saja membuat keputusan menerima tawaran bertanding di Lawak Vaganza anjuran stesen radio Hot FM.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 29, berharap gandingannya bersama Achey dan Ammar menerusi kumpulan Acak, mendapat sokongan daripada peminat.

"Saya hanya ingin mencuba cabang seni berbeza dan menyahut cabaran untuk mencuba nasib dalam bidang penyampaian radio pula. Lagipun, tempoh pertandingan tidak lama, hanya beberapa minggu saja.

"Saya bukanlah pelawak, oleh itu tugas untuk menghiburkan pendengar diserahkan kepada Ammar dan Achey. Kehadiran saya sebagai pelengkap kumpulan Acak. Saya tertarik untuk menerima tawaran berkenaan selepas beberapa kali menjayakan segmen temubual di radio.

"Biarpun ada pihak yang turut mengkritik Achey kerana suaranya yang dikatakan bingit, namun sekelompok masyarakat dapat menerima keadaan itu. Lagipun suaranya memang begitu, terimalah dia seadanya," kata Black.

Dalam perkembangan terbaharu, Black kini giat mempromosikan single berjudul Anugerah Terindah ciptaan Omar K yang menampilkan muzik lebih matang bersesuaian dengan pengalamannya selama tujuh tahun dalam industri seni suara.

Penerbitan single terbaharu Black ini adalah kerjasama antara Monkey Bone Records dan Seventeen Eleven Music.

Selain itu, pelantun lagu Teman Pengganti itu turut teruja berkongsi berita gembira sedang dalam rangka perbincangan bersama Datuk Ramli MS untuk menghasilkan produk khas buat peminat.

Berita Harian X