Khamis, 28 Julai 2016 | 12:49pm
ARY Hadre (tengah) keluar daripada kumpulan Klangit.

Tinggalkan Klangit, Ary Hadre tampil lagu baharu

KUALA LUMPUR: Selepas keluar daripada kumpulan Klangit, Ary Hadre kini bersedia mempertaruhkan single solo pertama berjudul Janji Palsu.

Ary berkata, lagu ciptaan sepenuhnya Adi Priyo (Sixth Sense) itu memperdengarkan suaranya yang agak berbeza, sekali gus beliau teruja untuk melihat reaksi peminat terhadap naskhah berkenaan.

"Sejujurnya saya sangat teruja dan sedikit gementar memikirkan maklum balas yang bakal diberikan oleh peminat terhadap single solo pertama saya.

"Jika dilihat melalui susunan muziknya, saya rasa genre ini amat digemari zaman sekarang selain kekuatan liriknya yang amat mendalam dan mampu memberikan kesan terhadap pendengar," katanya.

Ary berkata, beliau yakin Janji Palsu mampu menarik minat penggemar muzik tempatan kerana kekuatan susunan muzik di samping kematangan vokalnya.

Lagu terbabit mengisahkan pasangan yang tidak berlaku jujur dalam perhubungan dan sering kali memberikan janji palsu hingga akhirnya percintaan mereka kecundang.

"Maklumlah, bercakap mengenai kisah cinta, ada bermacam-macam versi. Jadi, lirik lagu ini saya anggap sebagai antara kisah sedih dalam menempuhi alam percintaan," katanya.

Janji Palsu boleh dimuat-turun di iTunes dan strim menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.

Terdahulu, kumpulan Klangit pernah menerima anugerah platinum atas kejayaan mereka mencatat penjualan nada dering tertinggi menerusi lagu Sesal Mendua oleh Sony Music.

Berita Harian X