Khamis, 28 Julai 2016 | 3:19pm

Tunjuk perasaan bantah pembukaan yayasan 'wanita pendamping'


PENUNJUK perasaan membantah pembukaan yayasan 'wanita pendamping'. - Foto AFP

SEOUL: Penunjuk perasaan Korea Selatan bertempur dengan pihak polis hari ini selepas cuba mengganggu pembukaan sebuah yayasan dibiayai Tokyo untuk wanita yang dipaksa bekerja di rumah pelacuran di zaman perang Jepun.

Nasib "wanita pendamping" adalah isu yang sangat emosi hingga menjejaskan hubungan antara Seoul dan Jepun berdekad lama dan bagi kebanyakan warga Korea Selatan, ia melambangkan kekejaman Jepun ke atas Semenanjung Korea sepanjang penjajahan pada 1910 hingga 1945.

Disember lalu, kedua-dua negara mencapai perjanjian "terakhir dan muktamad", di mana Tokyo memohon maaf dan satu bilion yen (RM34.4 juta) diperuntukkan untuk menubuhkan yayasan bagi wanita pendamping yang masih hidup dan semakin berkurangan jumlahnya.

Namun perjanjian itu dikutuk sejumlah wanita dan aktivis Korea Selatan, yang marah dengan keengganan Jepun menerima tanggungjawab undang-undang formal.

"Anda tidak boleh menutup mulut mangsa dengan wang. Ini bukan apa yang mereka mahukan," laung sekumpulan penunjuk perasaan pada majlis pembukaan itu.

Ahli sejarah arus perdana mendakwa sehingga 200,000 wanita, kebanyakannya dari Korea juga bahagian lain di Asia termasuk China, dipaksa bekerja di rumah pelacuran tentera Jepun semasa Perang Dunia II. - AFP

Berita Harian X