Khamis, 28 Julai 2016 | 4:43pm

Neelofa kongsi detik cemas alami sesak nafas


PEMENANG Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH 29), Neelofa Mohd Noor semasa Majlis Penyerahan Hadiah ABPBH 29 di Sri Hartamas. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa berkongsi pengalamannya melalui detik cemas apabila terpaksa memandu sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami sesak nafas.

Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra disapa Lofa, insiden itu berlaku awal pagi Selasa lalu ekoran penyakit resdung dihidapinya sejak dua bulan lalu.

"Malam Isnin lalu, Lofa menghadiri sebuah majlis Hari Raya di rumah seorang teman bersama kawan-kawan lain.

"Biasanya kalau ada majlis membabitkan mereka, Lofa akan pulang lewat. Bagaimanapun disebabkan berasa kurang sihat, Lofa pulang lebih awal kali ini. Lebih kurang jam 9.30 malam Lofa terus masuk tidur.

"Pada jam 3 pagi, Lofa terjaga kerana keadaan menjadi kronik dan terus mengalami sesak nafas. Tidak mahu menyusahkan anggota keluarga, Lofa memandu sendirian ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Keadaan sinus semakin teruk apabila lendir sudah mula memasuki rongga paru-paru sehingga menyebabkan mengalami sesak nafas," cerita gadis berusia 27 tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan kereta Volkswagen Passat jenis R-Line Special di Sri Hartamas, di sini, semalam.

Neelofa menerima kenderaan itu sebagai hadiah kemenangannya bergelar Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 (ABPBH 29), Mei lalu.

Disebabkan penyakitnya itu, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Azura ini tidak dapat mengendalikan program hiburan Meletop, Selasa lalu.

"Inilah kali pertama Lofa mengambil cuti sakit dan tidak dapat mengendalikan program terbabit. Selalunya, kalau Lofa ada hal lain atau keluar negara, Lofa akan memaklumkan perkara itu lebih awal kepada penerbit bagi memudahkan mereka mencari pengganti," katanya lagi.

Neelofa kini masih berada di bawah pengawasan doktor selama seminggu selain diminta berehat.

Berita Harian X