Jumaat, 29 Julai 2016 | 8:01am

Mungkinkah Khairul pecah rekod 200m lagi pagi ini?


RAJA Pecut Sukan Malaysia (SUKMA), Khairul Hafiz Jantan bergambar bersama papan masa selepas berjaya mencatat 10.18s kelmarin. - Foto Osman Adnan

KUCHING: Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA), Khairul Hafiz Jantan kian ghairah memburu rekod kebangsaan acara 200 meter berusia 48 tahun milik Tan Sri M Jegathesan apabila beraksi di final acara itu di Stadium Sarawak hari ini.

Perlumbaan dijadual bermula jam 9.40 pagi, sejurus selepas acara 200 wanita berakhir.

Selera Khairul Hafiz bertambah selepas meleburkan rekod 14 tahun acara 200m SUKMA milik Nazmizan Muhamad iaitu 21.33 saat, apabila menamatkan aksi separuh akhirnya dalam masa 21.14s petang semalam.

Atlet Melaka itu yang meleburkan rekod 100m kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek, iaitu 10.30s selepas mencatat 10.18s kelmarin, mahu melakukan yang terbaik untuk memadamkan rekod yang berusia hampir separuh abad itu.

"Saya harap untuk buat yang terbaik esok (hari ini). Jika ada orang, terutamanya Badrul Hisyam (Abdul Manap) dan Jonathan (Nyepa) mampu memberikan saingan, harap boleh catat masa yang lebih baik esok (hari ini).

"Ayah saya (Jantan Romli) berada di sini untuk menambahkan semangat saya lagi. Saya akan buktikan yang terbaik kepada ibu bapa saya," katanya kepada pemberita.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) berusia 18 tahun itu turut berganding dengan Badrul Hisyam, Asnawi Hasyim dan Muhammad Azam Masri untuk meleburkan satu lagi rekod kejohanan dalam acara 4x100m lari berganti-ganti semalam.

Kuartet Melaka itu mencatat 39.89s berbanding rekod terdahulu, 41.04s milik gandingan Sabah yang terdiri daripada Rayzamshah Wan Sofian, Mohd Aliff Nyat, Fahrul Nazri dan Md Helmi Augustinus pada SUKMA 2008 di Terengganu.

Sementara itu, jurulatih Khairul Hafiz, Mohd Poad Md Kassim turut yakin Khairul Hafiz mampu melakarkan satu lagi kejayaan esok.

"Rekod 200m memang terlalu lama, nampak keadaan sekarang macam dapat dipecahkan esok. Mungkin pada separuh akhir hari ini lawan tidak berapa mencabar, ...harap dia juga mampu tenang seperti semalam.

"Selepas SUKMA, memang kami sudah merancang dengan Majlis Sukan Negara untuk menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan bagi Sukan SEA tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, atlet tuan rumah, Grace Wong Xiu Mei berjaya memperbaharui rekod kejohanan dalam acara baling tukul besi, apabila mencatatkan balingan sejauh 57.76m, berbanding 55.82m pada edisi lalu di Perlis.

Perak menjadi milik Nurfazira Jalaludin (44.77m) dari Selangor manakala Florence Wong Poh Yee (40.74m) dari Sarawak terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Pada hari keempat dan terakhir acara olahraga esok, sebanyak 13 pingat emas akan dipertaruhkan dengan acara 200m, 4x400m lari berganti-ganti lelaki dan wanita, 100m lari berpagar wanita serta 110m lari berpagar lelaki pasti menjadi tumpuan. - BERNAMA

Berita Harian X