Jumaat, 29 Julai 2016 | 3:29pm

178 lokasi penagihan, pengedaran dadah dikesan


PENGERUSI Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Pahang, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (kanan) menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib (tengah) pada Bengkel Perancangan Strategik PDH 2016-2020 peringkat Pahang di Kuantan, pagi tadi. - Foto Hidayah Mahmud

KUANTAN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti 178 lokasi berisiko tinggi berlaku penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib, berkata lokasi itu dikenal pasti hasil pemantauan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aduan pemimpin masyarakat setempat.

"Usaha membanteras gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit giat dilakukan dengan kerjasama jabatan kerajaan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

"Pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan pelancaran Kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, diharap dapat membanteras dadah dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berucap pada Bengkel Perancangan Strategik PDH 2016-2020 peringkat Pahang di sini, pagi tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Pahang, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail dan Pengarah AADK negeri, Abdul Ghani Abdul Rahman.

Bengkel tiga hari bermula hari ini itu disertai 90 peserta mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, NGO dan pemimpin masyarakat.

Izhar berkata, AADK Pahang juga mengenal pasti 14 lokasi 'panas' di negeri ini yang paling banyak dilaporkan berlaku penyalahgunaan dadah.

"Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Tanjung Lumpur, Kempadang, FELDA Bukit Goh dan Tanah Putih.

"Faktor penawaran dan permintaan dadah di kawasan berkenaan menjadikan masalah penagihan berterusan, maka operasi akan dilakukan dengan kerjasama PDRM," katanya.

Berita Harian X