Jumaat, 29 Julai 2016 | 9:55pm

Badrul Hisyam janji kembali pantas

KHAIRUL Hafiz Jantan (kanan) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (kiri) selepas mengakhiri acara 200m di Stadium Sarawak, hari ini. - Foto Osman Adnan
KHAIRUL Hafiz Jantan (kanan) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (kiri) selepas mengakhiri acara 200m di Stadium Sarawak, hari ini. - Foto Osman Adnan

KUCHING: Johan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN, Badrul Hisyam Abdul Manap, berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk kembali meningkatkan prestasinya.

Beliau yang mengakui gagal mencapai sasaran meraih pingat emas dan memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dan 200m, turut berharap untuk mengesahkan slot ke Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

"Semestinya setiap atlet yang tidak mencapai sasaran di sesuatu tempat akan memasang niat atau impian untuk buat terbaik pada kejohanan akan datang.

"Saya mungkin tidak dapat beraksi dengan baik kerana saya jadi tumpuan tetapi itu bukanlah alasan. Saya anggap kalah menang adat pertandingan dan rezeki saya di tempat lain.

"SUKMA kali ini memang sangat sengit. Untuk Sukan SEA, saya dan Khairul Hafiz Jantan kalau boleh, mahu menjadikan tempat pertama dan kedua milik Malaysia," katanya.

Pelari berusia 19 tahun dari Melaka itu pernah mencatatkan masa sepantas 10.29s bagi acara 100m di Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Brunei, yang tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan kerana kesalahan di bahagian penganjur sebelum meraih emas pada Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina dengan catatan 10.39s.

Atlet yang menjadi pilihan utama pada olahraga SUKMA kali ini, bagaimanapun gagal menunjukkan prestasi terbaik apabila terpaksa berpuas hati dengan gangsa acara 100m dengan catatan 10.36s dua hari lalu.

Pada hari ini, beliau menerima satu lagi kejutan apabila hanya mampu menamatkan acara 200m di tempat keempat dengan 21.56s, manakala rakan sepasukannya Khairul Hafiz meraih emas dengan 21.03s.

Perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Muhammad Aqil Yasmin dari Selangor (21.31s) dan Jonathan Nyepa dari Sarawak (21.34s).

Badrul Hisyam seterusnya akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada September ini. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X