Sabtu, 30 Julai 2016 | 11:45am

Sistem maklumat di lapangan terbang Vietnam digodam


PIHAK berkuasa bertindak mematikan skrin dan sistem hebahan di Lapangan Terbang Noi Bai sejurus selepas digodam dengan mesej penghinaan terhadap Vietnam dan Filipina berhubungan perselisihan berhubung tuntutan wilayah dengan China di Laut China Selatan. - Foto AP

HANOI: Skrin paparan maklumat penerbangan dan sistem hebahan awam di dua lapangan terbang utama Vietnam digodam dengan mesej penghinaan terhadap Vietnam dan Filipina berhubungan perselisihan berhubung tuntutan wilayah dengan China di Laut China Selatan.

Pihak berkuasa bertindak mematikan skrin dan sistem hebahan di Lapangan Terbang Noi Bai di Hanoi dan Lapangan Terbang Tan Son Nhat di Bandar Ho Chi Minh sejurus kejadian semalam, menurut akhbar dalam talian VnExpress.

Laman web syarikat penerbangan negara itu, Vietnam Airlines, juga diceroboh.

Laman web itu memetik Naib Menteri Pengangkutan, Nguyen Nhat, sebagai berkata kejadian itu tidak menjejaskan kawalan trafik keselamatan atau udara di lapangan terbang berkenaan.

Mesej dan paparan skrin dengan kenyataan menghina itu menunjukkan seolah-olah ia sengaja dilakukan penggodam China.

Awal bulan ini, sebuah tribunal antarabangsa membuat keputusan yang memihak kepada Filipina, sekali gus membatalkan tuntutan menyeluruh China di Laut China Selatan.

Vietnam dan Filipina turut menuntut bahagian laut yang kaya dengan sumber semula jadi itu dan sering dikritik lantang oleh China. - AP

Berita Harian X