Ahad, 31 Julai 2016 | 12:01am

Indah Ruhaila enggan berhutang untuk majlis kahwin


HASRAT melangkah ke alam perkahwinan sudah lama tertanam di sudut hatinya.

Ketika memasuki usia 30 tahun dan melihat seorang demi seorang teman artis menamatkan zaman solo mereka, terdetik di hatinya bila hari bahagia yang selama ini diimpikan akan tiba.

Mengikat tali pertunangan sejak tiga tahun lalu, Indah bagaimanapun, akur kesibukan memenuhi rutin sebagai insan seni yang padat dengan pelbagai aktiviti, membuatkan hasrat suci itu terpaksa ditangguhkan.

Tambahan pula, kerjaya seni Indah atau nama penuhnya, Siti Ruhailah Hussein tidak merentasi jalan mudah untuk berada pada tahap selesa.

Selepas lama berkorban dan mendahulukan kerjaya seninya yang sedang mekar, Indah berkata, dirinya kini bersedia kembali fokus kepada perancangan peribadi.

Tidak menyembunyikan lagi kenyataan, Indah mengakui dirinya sedang menghitung hari untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

PENYANYI, Indah Ruhaila. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Indah Ruhaila. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Insya-Allah, kami akan bersatu awal tahun depan. Sudah lama bertunang, saya kini bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri. Jika diikutkan, kami sepatutnya sudah lama disatukan tetapi jadual kerja menghalang.

"Kerjaya seni bermula lewat, jadi saya ingin menstabilkan dulu diri dalam industri hiburan. Alhamdulillah, tunang memahami malah tidak pernah mendesak kerana dia tahu apa yang saya inginkan. Mungkin saya dilihat seperti mementingkan diri hingga sanggup mengetepikan perancangan peribadi.

"Tunang memberikan keizinan untuk saya fokus kepada kerjaya seni. Sudah lama saya bergelut mencari ruang mencipta nama. Apabila peluang itu datang, saya ingin terlebih dulu mengukuhkan nama kerana kesempatan ini sudah terlalu lama saya nantikan.

Pernah berputus asa

Indah mengakui pernah menyangka, kerjaya seninya yang bermula selepas mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Suria Records (SRC) dari tahun 2006 hingga 2010 akan bernoktah begitu saja, apabila segala usahanya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Namun, selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) 2013, tuah mula menyebelahinya. Single 'Percayalah' yang dinyanyikan pada malam kemuncak AF 2013, memberikan sinar baharu kepada Indah, untuk melonjakkan semula namanya yang dulunya agak suram.

PESERTA Akademi Fantasia (AF) 2013, Indah Ruhaila. -- Foto Aziah Azmee
PESERTA Akademi Fantasia (AF) 2013, Indah Ruhaila. -- Foto Aziah Azmee

INDAH mengakui sudah mula membuat persiapan kahwin sedikit demi sedikit. - Foto Aziah Azmee
INDAH mengakui sudah mula membuat persiapan kahwin sedikit demi sedikit. - Foto Aziah Azmee

Lagu itu turut melonjakkan kerjaya seninya apabila terpilih untuk beraksi pada kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-29, selain membolosi Top 5, Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014.

"Saya pernah hampir berputus asa kerana rezeki tidak menyebelahi. Alhamdulillah, penantian berbaloi dan tunang juga mahu saya terlebih dulu menikmati kemanisan sebagai anak seni, sebelum memberikan perhatian kepada alam rumah tangga," katanya.

Indah juga melihat, peralihan status yang bakal digalasnya nanti tidak akan sesekali menguburkan minatnya terhadap nyanyian.

Biarpun sering dihantui andaian, kerjaya seseorang insan seni akan diuji apabila mendirikan rumah tangga, Indah bagaimanapun, percaya dengan rezeki yang tertulis.

"Saya tidak perlu takut jika nama akan jatuh selepas berkahwin. Itu hanya andaian dan selagi boleh berjuang, saya tidak akan berhenti memperkenalkan bakat. Industri seni itu luas, banyak cabang yang boleh diteroka. Saya berharap semua pihak akan mendoakan saya," katanya.

INDAH mengimpikan majlis perkahwinan yang sederhana dan tidak menyusahkan sesiapa. - Foto Syazana Rose Razman
INDAH mengimpikan majlis perkahwinan yang sederhana dan tidak menyusahkan sesiapa. - Foto Syazana Rose Razman

Elak berhutang untuk berkahwin

Ketika ini, Indah mengakui sudah mula membuat persiapan kahwin sedikit demi sedikit.

"Saya praktikal dalam hal ini. Saya juga tidak mengharapkan majlis kahwin yang hebat kerana apa yang penting, menguruskan hal yang wajib. Lagipun, banyak wang yang akan digunakan apabila memulakan hidup baharu nanti.

"Saya hanya mengimpikan majlis perkahwinan yang sederhana dan tidak menyusahkan sesiapa. Saya juga tidak sanggup berhutang hanya kerana mahukan perkahwinan yang gah," katanya.

Mengenai kerjaya seninya, Indah yang baru pulang bercuti dari Melbourne, Australia, mengakui namanya seakan tenggelam timbul selepas impak lagu Percayalah semakin terhakis.

Kehadiran single kedua, Di Sebalik Takdir ciptaan Edry Abdul Halim seakan-akan membantutkan momentum seninya.

INDAH pernah hampir berputus asa kerana rezeki tidak menyebelahinya.
INDAH pernah hampir berputus asa kerana rezeki tidak menyebelahinya.

"Saya akui agak ralat apabila perjalanan single kedua tidak seperti yang diharapkan. Saya menjangkakan, langkah saya lebih mudah selepas menyertai AJL 29 dan membolosi ABPBH 2014. Tetapi, sebaliknya pula yang terjadi. Ada yang menganggap single kedua itu gagal membantu saya mempertahankan nama.

"Namun, ada juga yang memberikan maklum balas positif. Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Sebagai penyanyi, saya hanya berusaha dan selebihnya saya serahkan kepada Allah untuk menentukannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Indah sedang menanti kehadiran single ketiganya, Semua Untuk Cinta, ciptaan Hael Hussaini untuk diperkenalkan kepada peminat.

Berita Harian X