Selasa, 2 Ogos 2016 | 5:13pm

Penjawat awam jangan lengah masa - Raja Perlis


RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) menyampaikan titah perasmian pada majlis Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-13, Kangar, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Penjawat awam di negeri ini digesa lebih peka dan menanam semangat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa melengah-lengahkan masa.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bertitah pada zaman ini, masa adalah sesuatu yang berharga.

"Penjawat awam perlu membuka minda dan membuang sikap negatif serta mengelak kerenah birokrasi bagi memastikan proses transformasi berjalan dengan berkesan.

"Kerajaan negeri juga perlu berfikir lebih jauh ke hadapan dalam menyediakan perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat supaya perkara yang membataskan perubahan dapat ditambahbaik," titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian ketika Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-13, di sini hari ini. Persidangan DUN Perlis bermula hari ini sehingga Khamis ini.

Baginda juga mahu semua pihak sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah dan memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum.

"Berdisiplinlah dalam melakukan perbelanjaan serta patuhilah segala tatacara kewangan yang ditetapkan supaya tidak merugikan kerajaan.

"Semua jabatan dan agensi perlu memastikan penganjuran program dan majlis masing-masing diselaraskan dengan pentadbiran kerajaan negeri supaya tidak berlaku pertindihan," titah Baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, ini bagi memastikan pelaksanaan program atau majlis dapat berjalan lancar dan tidak membazirkan perbelanjaan.

Yang turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Berita Harian X