Selasa, 2 Ogos 2016 | 8:53pm

Kos rawatan penagihan lebih besar berbanding untung ketum


Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Datuk Azizan Ariffin (kanan) bersama Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusuf Kameh (kiri) ketika sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Kerajaan bakal menanggung kos pemulihan rawatan penagihan yang lebih besar sekiranya berniat meneruskan cadangan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi penanaman daun ketum secara komersial.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Azizan Ariffin, berkata adalah tidak setimpal dengan nilai keuntungan bagi pengkomersialan tanaman itu, berbanding kira-kira RM25 juta kos setahun yang terpaksa dilaburkan kerajaan bagi program pemulihan penagihan di negara ini.

"AADK memang tidak bersetuju dan membantah cadangan RISDA untuk memohon penanaman daun ketum secara komersial walaupun didakwa untuk tujuan eksport.

"Sekali pun tujuan tanaman itu ada kaitan dari sudut perubatan, kita (AADK) berpendapat sudah ada sumber dadah lain yang boleh menggantikan daun ketum bagi tujuan perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, lewat petang tadi.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mahu mendapatkan kebenaran kerajaan untuk menanam pokok ketum secara komersial bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini.

Kenyataannya itu mendapat pelbagai reaksi, rata-ratanya tidak bersetuju. Yang turut hadir, Pengarah (Pencegahan) AADK, Abdul Rahman Hamid dan Pengarah AADK negeri, Mohd Yusuf Kameh.

Azizan berkata, kerajaan perlu mengkaji kesan jangka masa panjang penanaman daun ketum kepada generasi akan datang, termasuk risiko menanggung peningkatan jumlah penagih baharu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 1,600 sarang penagihan dadah membabitkan 178 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara berjaya dipulihkan agensi itu menerusi program My Beautiful Malaysia.

"Ini sejajar dengan pengisytiharan 'Perangi Dadah Habis-Habisan' oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahun ini, selain komitmen daripada pelbagai agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)," katanya.

151 dibaca
Berita Harian X