Khamis, 4 Ogos 2016 | 12:02am

Kuasa lisan Gulen tembusi hati pembaca dunia

 BUKU Speech and Power of Expression: On Language, Esthetics, and Belief
BUKU Speech and Power of Expression: On Language, Esthetics, and Belief

DI TENGAH-TENGAH kekalutan dan kekeliruan pertembungan peradaban, buku Speech and Power of Expression: On Language, Esthetics, and Belief karya M Fethullah Gulen ini wajar untuk ditekuni.

Bagi umat Islam, mereka memiliki kekuatan tetapi tersilap memilih tali untuk mengekang kemarahan dan pedang yang tidak pernah didahului dengan ilmu yang benar.

Justeru, ilmuwan Muslim kelahiran Turki yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) yang diletakkan sebagai tokoh berpengaruh dunia menguak sedikit pengetahuan kita terhadap kekuatan yang sebenar.

Berbekalkan ilmu yang mendalam dan latar orator yang hebat, Gulen menulis bab Speech and Power of Expression yang menjelaskan bagaimana kata-kata yang bermula dengan al-Quran menjadi suara yang dapat menerobos hati meskipun degil atau taksub.

Metafora yang digunakan sangat mengagumkan yang dapat memecahkan benteng keraguan kita dan menumbuhkan keyakinan terhadap kekuatan kata-kata.

Konsep adab, sastera

Gulen kemudian menulis satu bab yang sangat signifikan kepada sastera, iaitu The Power of Literature yang memulakannya dalam konsep adab atau sastera dalam bahasa Arab.

Tulisan itu mengingatkan penekanan yang dibuat oleh ilmuwan besar, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang boleh dibaca antara lainnya Risalah Untuk Kaum Muslimin.

"Manusia akan menggunakan bahasa sebagai senjata dan berusaha menembusi hati melalui bahasa itu, sekali gus menguasai jiwa dengan tarikan kesusasteraan," jelas Gulen.

Tidak hairanlah, bab Language and Thought mengingatkan pembaca terhadap bahasa yang menjadi jambatan menghubungkan kita dengan kekayaan khazanah warisan silam sehingga dapat menjadi teladan dan sempadan dalam perjalanan untuk masa depan.

Kekuatan kata-kata berbekalkan bahasa dan sastera itulah yang menguak mata hati kita terhadap keindahan sebenar seperti ditekankan dalam bab Beauty and the Beautiful.

Bagi Gulen, perbincangan estetika atau keindahan tidak terpisah daripada Pemiliknya, sekali gus menjadikan unsur itu lebih 'abadi' kerana beliau tidak melihatnya berdasarkan pandangan alam Barat, tetapi berdasarkan hati yang memperakukan ketuhanan dan mengakui keabdian seperti yang ditekan dalam tradisi sufi.

M Fethullah Gulen.
M Fethullah Gulen.

Puisi daripada hati

Tanpa hakikat itu, ia pasti disalah guna seperti ingatan beliau dalam Poetry from a Humble Perspective yang menegaskan puisi yang sebenar digabungkan daripada metafora dan simbol yang lahir daripada hati, bangkit seperti awan dan mengambil bentuk cakerawala.

"Ayat yang dibentuk selain daripada itu bukanlah puisi, sebaliknya kalimah tiruan yang setiap satu bertentangan dengan maksud hati sebenar.

"Ungkapan dan kata-kata itu yang belum terbentuk dalam jiwa seseorang seperti suara kesedaran menyebabkan semuanya lompong, tidak kira bagaimana mereka menghiaskannya atau bagaimana mereka menjadikannya berkilau," tulisnya.

Daripada kekuatan kata-kata yang dimiliki bersama itulah, Gulen menyelongkar pelbagai tema baik yang disentuh secara ringkas, tetapi mengikat hati khususnya mengenai kelahiran Rasulullah SAW yang baru saja kita sambut atau wanita sebagai sumber kasih sayang.

Justeru, pembacaan buku ini di tengah-tengah kekalutan dan kekeliruan mutakhir, memberikan nafas segar terhadap penyelesaian yang dapat ditawarkan oleh umat Islam, iaitu kebenaran dan kebahagiaan hakiki melalui kekuatan yang sudah sedia dimiliki.

Berita Harian X