Khamis, 4 Ogos 2016 | 12:06am

Liga Super: JDT lega, FELDA United lepas peluang


Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Amirul Hadi Zainal (kanan) mengasak pemain Pulau Pinang Jeong Seok Min dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. - Foto Rosli Ahmad

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus kekal di persada Liga Super selepas terikat 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Biarpun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-11, JDT terpaksa akur dengan satu mata selepas Mohd Fitri Omar menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

JDT bagaimanapun perlu berterima kasih kepada Kelantan yang berjaya mengikat pencabar utama, FELDA United juga dengan keputusan 1-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

FELDA United berjaya mendahului seawal minit kelapan menerusi penyerang berbisa Francis Forkey Doe sebelum Wander Luiz menyelamatkan maruah Kelantan pada minit ke-76.

Nasib berbeza pula menimpa pasukan tangga ketiga liga, Selangor yang tewas 0-1 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Jaringan tunggal Makan Konate pada minit ke-36 sudah cukup untuk mengecewakan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan.

Terdahulu, Sarawak terus menambah derita Terengganu apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas skuad Penyu di Stadium Negeri, Kuching.

Jaringan Sarawak dihasilkan Makeche Ndumba dan Gilmar Jose Da Silva pada minit kedua dan 56 manakala gol tunggal Terengganu disumbangkan Vincent Bikana pada minit ke-22.

Di Alor Setar, Kedah berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot liga, Pahang dengan jaringan tunggal perlawanan di hasilkan Shane Smeltz menerusi sepakan penalti pada minit ke-27.

Di Ipoh, Perak meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dengan 1-0 pada aksi di Stadium Perak.

Mohd Fazrul Hazli Khadri muncul wira Perak apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-47 sudah cukup untuk memberi tiga mata berharga buat skuad The Bos Gaurus.

Berita Harian X