Sabtu, 6 Ogos 2016 | 8:30am

Gatlin tekad atasi Bolt di Rio

GATLIN (kanan) bertekad menewaskan Usain Bolt yang disifatkan bakal menjadi kemenangan Olimpik keduanya yang kontroversi.

RIO DE JANEIRO: Atlet pecut Amerika Syarikat (AS), Justin Gatlin bertekad menewaskan Usain Bolt yang disifatkan bakal menjadi kemenangan Olimpik keduanya yang kontroversi.

Gatlin dua kali digantung kerana kesalahan doping, sekali gus kemenangan dalam acara 100 meter ke atas Bolt akan menjadi tumpuan - terutama selepas skuad olahraga Russia digantung berikutan skandal dadah.

Atlet berusia 34 tahun itu dua kali mencatat masa terpantas tahun ini dan dia sememangnya menjadi pencabar utama kepada juara bertahan, Bolt yang dihimpit masalah kecederaan hamstring dalam persiapan ke Olimpik Ri0 2016.

Gatlin berkata, dia sekadar mengambil pendekatan mudah untuk penampilan ketiganya di Olimpik selepas memenangi acara 100 meter pada 2004, terlepas saingan pada 2008 kerana kesalahan doping sebelum kembali meraih gangsa pada London 2012.

"Saya akan keluar dan melakukan apa yang perlu saya lakukan," katanya kepada pemberita di pangkalan latihan skuad olahraga AS di Copacabana.

"Olimpik kali ini cukup istimewa. Saya tahu semua akan memastikan mereka beraksi pada terbaik, jadi saya perlu pastikan saya bersedia sepenuhnya."

Ketika ditanya mengenai perasaannya, Gatlin berkata: "Lapar."

"Ini Olimpik ketiga saya, jadi saya mahu menikmatinya. Perasaan saya bercampur baur bermula dari penampilan pertama pada 2004 hinggalah 2012." - AFP

Berita Harian X