Sabtu, 6 Ogos 2016 | 9:00am

Melindungi kesihatan sistem penghadaman bagi 'kaki makan'

KETIKA 'berjalan-jalan mencari makan', anda mungkin terdedah kepada kedai makanan yang mempunyai premis dan persekitaran yang kurang bersih.

Ini boleh meningkatkan risiko anda untuk diserang penyakit bawaan makanan (seperti keracunan dan jangkitan bakteria).

Tidak dinafikan, gerai makanan jalanan yang enak lagi murah amat popular di Malaysia, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk memasak setiap hari.

Sememangnya, rata-rata semua rakyat Malaysia sejati adalah kaki makan yang dari semasa ke semasa akan memburu gerai nasi lemak atau kueteow terkenal meskipun terpaksa beratur panjang.

Bagaimanapun, kelebihan ini diiringi amaran risiko penyakit bawaan makanan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, keracunan makanan mencatatkan 50 peratus kes penyakit bawaan dengan prosedur pengendalian makanan yang tidak bersih sebagai penyebab utama.

Namun ini tidak bermakna anda perlu berhenti meneroka masakan yang diingini.

Berikut antara panduan tip berguna untuk melindungi diri daripada jangkitan penyakit.

Cuci tangan

Amalan mudah ini cukup ditekankan di Malaysia ketika penularan wabak H1N1 pada tahun 2009.

Malangnya, amalan mencuci tangan ini mula diambil ringan dalam tahun berikutnya.

Tangan adalah perantara atau vektor utama dalam penyebaran kuman dan digunakan untuk makan.

Ambil sahaja contoh mudah, kentang goreng yang diambil dengan tangan dan diletakkannya ke dalam mulut.

Jika tangan kotor yang menjadi sarang kepada jutaan bakteria digunakan untuk menikmati kentang goreng itu, ia mungkin membawa kepada permulaan pelbagai penyakit.

Justeru, amalkan tabiat penting membersihkan tangan sebelum makan.

Banyak minum air

Dengan cuaca panas terik dan lembap, banyakkan minum air untuk mengekalkan hidrasi tubuh sepanjang hari, terutamanya jika kerap membeli makanan atau makan di luar.

Seperti diketahui, makanan luar banyak mengandungi garam, menjadikannya lebih enak!

Manfaat minum banyak air mampu membantu mengimbangkan kesan penyahhidratan disebabkan pengambilan garam yang tinggi.

Pastikan minum segelas air setiap pagi, ketika makan dan sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air sepanjang hari.

Untuk menyenangkan anda, siapkan sebotol air di meja kerja.

Tingkatkan sistem imunasi

Pengambilan tinggi makanan goreng dan berminyak memberi tekanan kepada sistem penghadaman dan mengurangkan kecekapannya menyerap zat makanan.

Pastikan makan lebih banyak makanan berserat seperti sayursayuran dan buah-buahan untuk mendapat vitamin dan mineral secukupnya bagi memantapkan lagi sistem imunasi.

Makanan sedemikian bertindak sebagai perisai dalaman yang melindungi anda daripada risiko keracunan daripada makanan jalanan.

Sasarkan untuk mengambil sekurang-kurangnya dua hidangan buah-buahan dan tiga hidangan sayur-sayuran setiap hari. Juga cuba sedaya upaya untuk tidak mengatakan "Tak mahu sayur"!

Dapatkan vaksinasi

Bagi mereka yang gemar 'berjalanjalan mencari makan', vaksin seperti Typhoid dan juga vaksin Hepatitis tertentu amat berguna.

Teliti rekod perubatan untuk memastikan apakah vaksin yang pernah diambil sebelum ini dan apakah vaksin yang harus diambil lagi.

Bagi mereka yang kerap mengembara, selalu semak dengan doktor anda atau laman web pelancongan tempatan berhubung vaksinasi yang wajar diambil.

Namun, ini tidak bermakna dengan vaksinasi, anda bebas makan sesuka hati! Sentiasa berhati-hati dengan pemakanan dan minuman anda, terutamanya apabila mengembara.

Tingkatkan pengambilan probiotik

Mikro-organisme bermanfaat ini bertindak membantu mengekalkan kesihatan lapisan dinding usus bagi mengelakkan toksik mengalir keluar dari usus ke dalam saluran darah.

Dalam pada itu, probiotik berupaya melumpuhkan patogen (termasuk bakteria bahaya) dalam saluran pencernaan.

Cuba amalkan pengambilan makanan dan minuman yang difermentasi seperti yogurt atau tempeh dalam diet harian anda.

Ketika anda 'berjalan -jalan mencari makan', ia cukup senang untuk membeli minuman susu berkultur di pasar raya tempatan.

Pilihlah minuman susu kultur yang mengandungi berbilion kultur hidup aktif yang mampu merencatkan bakteria bahaya dalam usus, selain mengurangkan risiko gangguan penghadaman seperti cirit-birit, kembung perut dan juga pedih ulu hati.

Terapkan tip yang dinyatakan di atas ke dalam rutin harian anda, tetapi pada masa sama, jangan terlalu ghairah dengan pemburuan gastronomi.

Pastikan lebih kerap makan makanan berkhasiat yang dimasak di rumah.

Jika menjamu selera di luar, pilihlah restoran yang bersih dan terang.

Makanan enak seharusnya dinikmati, tetapi janganlah abaikan kesihatan jangka panjang semata-mata untuk memuaskan selera anda.

72 dibaca
Berita Harian X