Khamis, 21 Ogos 2014 | 6:55pm
Deretan kereta baharu di sebuah kilang pengeluaran kenderaan di Shenyang, Wilayah Shenyang, China. Pertumbuhan sektor perkilangan China menyusut pada Ogos mengikut kajian awal HSBC. - Foto Reuters

Aktiviti pembuatan China susut pada Ogos : HSBC

BEIJING: Aktiviti pembuatan China pada Ogos perlahan, mencapai paras rendah dalam tiga bulan kepada 50.3 daripada 51.7 pada Julai, demikian mengikut Hong Kong and Shanghai Banking Corporation (HSBC).

Kajian awal indeks pengurus pembelian (PMI) yang dikeluarkan HSBC hari ini bagaimanapun menyatakan angka itu masih di atas paras 50 yang menjadi penentu kedudukan sektor.

PMI di atas 50 mata menunjukkan pengembangan dalam sektor pembuatan manakala di bawah angka itu, menunjukkan ia menguncup.

"Data hari ini menunjukkan pemulihan ekonomi masih berterusan tetapi momentum kembali perlahan.

"Oleh itu, permintaan perindustrian dan pertumbuhan aktiviti pelaburan berkemungkinan kekal agak lemah," kata Ketua Ahli Ekonomi HSBC bagi China, Qu Hongbin dalam satu kenyataan.

Qu yakin lebih banyak sokongan dasar diperlukan untuk membantu mengukuhkan pemulihan.

"Dasar monetari dan fiskal akan terus akomodatif sehingga terdapat pemulihan yang kekal dalam aktiviti ekonomi," katanya.

China mengumumkan beberapa siri langkah rangsangan baru-baru ini termasuk kelonggaran monetari, mempercepatkan perbelanjaan kerajaan dalam pembinaan landasan kereta api serta langkah sokongan dalam sektor-sektor terpilih.

Pertumbuhan ekonomi China 7.5 peratus pada suku kedua, naik daripada 7.4 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Kerajaan China menetapkan sasaran pertmbuhan pada 7.5 peratus tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X