Sabtu, 6 Ogos 2016 | 11:37pm

Liga Super: JDT kukuh cengkaman, Selangor parah


PEMAIN JDT, Azammuddin Akil (kiri) diasak pemain Perak, Ahmad Khairil Anuar pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di takhta teratas Liga Super selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Jaringan tunggal Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-15 sudah cukup untuk membolehkan JDT memimpin carta liga dengan kelebihan empat mata.

Skuad kendalian Mario Gomez itu turut bernasib baik apabila pencabar utama mereka, FELDA United diikat Terengganu dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Skuad The Fighters ketinggalan dua gol kepada Terengganu menerusi jaringan Issey Farran Nakajima dan Ashari Samsudin pada minit ketujuh dan 60 sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi Zahrahan Krangar dan Ahmad Shamim Yahya (m-70 dan 88).

Selain itu, pasukan tangga ketiga, Selangor semakin ketinggalan di belakang selepas kecundang 0-1 kepada Kedah di Stadium Darul Aman dengan jaringan tunggal perlawanan dihasilkan Bang Seung Hwan seminit selepas bersambung babak kedua.

Kelantan pula menebus kekecewaan terikat 1-1 dengan FELDA United, Rabu lalu apabila menewaskan T-Team dengan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mohd Badhri Radzi membuka tirai jaringan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) pada minit ke-65 sebelum Wander Luiz mengesahkan kemenangan selesa dengan gol kedua pada minit ke-90.

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak sekali lagi dimalukan di gelanggang sendiri apabila kecundang 0-2 kepada Pulau Pinang.

Kemenangan Pulau Pinang dibantu dengan jaringan Mohamad Faizat Mohd Ghazali dan S Kumaahran pada minit ke-13 dan 83.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjarakkan kedudukan dari zon penyingkiran selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot Pahang.

PDRM seharusnya berterima kasih kepada Guilherme de Paula apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-71 memberi tiga mata berharga kepada skuad The Cops.

Berita Harian X