Ahad, 7 Ogos 2016 | 5:23am

Dasar keamanan dan peperangan dalam Islam

Sejak 2014, kita membaca melalui berita dalam talian dan laman maya mengenai rakyat kita yang meninggal dunia ketika pergi 'berjihad' di Syria dan kawasan sekitarnya. Menurut laporan media, beberapa jenazah orang yang terkorban ini dikebumikan di Turki bersebelahan mayat anggota lain dari Malaysia yang telah terkorban sebelum ini.

Dalam konteks ini saya tidak bermaksud untuk membicarakan mengenai hukum dan fatwa berhubung kematian ini, sama ada sebagai seorang yang berjihad dan terkorban sebagai syahid, sebagai anggota kumpulan militan yang terkorban secara sia-sia. Malah, berdosa kerana membunuh.

Umat Islam di seluruh dunia sepatutnya bertindak menubuhkan badan antarabangsa sendiri untuk memastikan isu fatwa dan ijmak ulama mengenai hal ini, kerana tanpa autoriti pertubuhan Islam sendiri, maka isu ini sekarang menjadi isu individu dan kumpulan tertentu, yang bertindak memberikan pentafsiran sendiri berkaitan perjuangan yang berkonsepkan 'jihad', 'mati syahid', siapakah 'musuh Allah' dan siapakah sebenarnya 'musuh Islam' 'yang halal darahnya' dan sebagainya.

Sekarang, isu ini nampaknya menjadi isu dan hak mutlak kumpulan dan golongan masyarakat tempatan sendiri yang menentukan konsep dan corak perjuangan serta pembunuhan yang dilakukan sesama Islam, siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Ketika dua kumpulan Islam mengangkat senjata dan berbalas tembakan untuk membunuh 'musuh' masing-masing, kedua-dua kumpulan ini akan berteriak 'Allahu Akbar' ketika berjaya membunuh 'musuh', malah semua pihak akan mengangkat bendera yang bertulis kalimah suci, dan 'menghalalkan' darah lawan mereka.

Pelajari erti 'perang'

Umat Islam seharusnya mempelajari erti dan konsep 'perang' dalam Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah, mengambil teladan dari sirah dan contoh Rasulullah SAW dalam sejarah perjuangan Baginda yang panjang ketika mula-mula menyampaikan amanah Allah SWT membawakan ajaran tauhid dan seterusnya dari peristiwa Hijrah Baginda dan kembalinya semula ke Makkah sehingga Baginda wafat.

Islam sebenarnya membawakan misi keamanan dan keharmonian kepada manusia. Semua Nabi dan Rasul utusan Allah SWT diakui oleh umat Islam sebagai utusan-Nya. Malah, kehadiran manusia kepelbagaian agama juga adalah kejadian Allah yang seharusnya diterima dan dihormati oleh umat Islam.

Ayat 8 dan 9 Surah Al-Mumtahanah menjelaskan mengenai kehidupan bersama secara aman dan adil (peaceful co-existence) ketika tidak wujudnya sebarang permusuhan di antara kedua-dua belah pihak, iaitu ketika Allah SWT menjelaskan bahawa "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil."

Namun, dalam ayat yang seterusnya barulah Allah menerangkan bahawa "Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadi teman rapat kepada orang yang memerangi kamu kerana agama kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu orang lain untuk mengusir kamu. Sesungguhnya sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim."

Larangan bertolak ansur kepada musuh Islam

Dua perkara yang memberi justifikasi supaya orang Islam tidak seharusnya berteman rapat dan berlaku adil kepada orang lain ialah ketika mereka itu memusuhi orang Islam kerana agamanya, dan mengusir orang Islam dari kampung halaman dan negaranya secara zalim, sama ada dengan bertindak secara bersendirian atau berkomplot dengan musuh Islam untuk merampas rumah tangga dan negara orang Islam sendiri. Maka, dalam keadaan ini Allah melarang orang Islam daripada bertolak ansur kepada musuh Islam itu.

Sebab itulah disebut di atas, bahawa misi Islam ialah membawa keamanan dan keharmonian sesama manusia, iaitu ketika umat Islam tidak dimusuhi kerana mereka adalah orang Islam dan selama mana rumah tangga, kampung halaman dan negara mereka tidak dirampas secara zalim, serta negara orang Islam tidaklah harus dicerobohi.

Hal sama diterangkan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Haj ayat 39 yang menjelaskan bilakah orang Islam boleh menentang kekerasan musuh secara berperang, yang bermaksud:

"Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai) kemenangan, iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa mempunyai alasan yang benar, namun semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah."

Pentafsiran yang tepat mengenai kewajaran berperang dan bertindak secara kekerasan ini hendaklah dibuat dengan berilmu dan berhikmah, bukan pentafsiran melulu yang memberikan justifikasi untuk berbunuhan sesama Islam atas tiket jihad, syahid dan syurga.

Amat berbahaya sekiranya kita membawa mesej kepada anak muda kita bahawa pertempuran berdarah dan maut di negara Islam di Asia Barat itu sebagai jihad yang membawa kepada syahid dan syurga, seperti yang juga diberikan oleh sesetengah komen di media sosial di negara kita sendiri tanpa usul periksa dan ilmu yang mendalam.

Komen yang berbentuk fatwa ini tidak seharusnya diseleweng secara sewenang-sewenangnya oleh sebarang individu atau kumpulan yang tidak bersandarkan dalil yang tepat mengikut ajaran Islam, sebaliknya hanya berdasarkan politik sempit atau mazhab dan aliran lain, bukan kerana perjuangan Islam yang sebenarnya.

Penulis adalah Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

81 dibaca
Berita Harian X