Ahad, 7 Ogos 2016 | 7:59am

Thailand akan buat pilihan raya umum tahun depan

GAMBAR fail, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha selepas majlis penyerahan bagi Ketua Tentera Diraja Thai baharu di Ibu Pejabat Tentera Thai di Bangkok pada 30 September, 2014. - Foto REUTERS

BANGKOK: Pungutan Suara ke atas perlembagaan baharu yang disokong junta berlangsung hari ini di Thailand bagi membuka jalan ke arah pilihan raya umum 2017 yang memerlukan kerajaan masa depan memerintah mengikut syarat tentera.

Undian ini adalah ujian populariti terbesar pertama junta yang diketuai Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha, yang menyekat aktiviti politik sepanjang tempoh dua tahun sejak merampas kuasa pada 2014.

Petunjuk awal menggambarkan perlembagaan baharu sedikit mendahului, tetapi kebanyakan pengundi masih belum membuat sebarang keputusan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, pihaknya menyasarkan kehadiran 80 peratus daripada kira-kira 50 juta pengundi yang layak.

Keputusan awal dijangka pada kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan).

Prayuth berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan jika Thailand menolak perlembagaan itu dan pilihan raya umum akan tetap diadakan tahun depan walau apapun keputusannya.

"Kita perlu mengadakan pilihan raya umum pada 2017 kerana itu adalah janji yang kita buat. Tiada sebarang piagam yang mampu memuaskan semua orang 100 peratus," katanya.

Pengkritik berkata, piagam itu adalah cubaan tentera untuk berbaik-baik selepas kegagalan menyekat populariti bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra daripada politik Thai selepas rampasan kuasa yang menyingkirkan beliau pada 2006. - Reuters

Berita Harian X