Ahad, 7 Ogos 2016 | 3:54pm

217 pasangan hadiri Seminar Keintiman Suami Isteri

KUALA NERUS: Seramai 217 pasangan yang mendirikan rumah tangga menerusi program Perkahwinan Perdana pada Mei lalu, menyertai Seminar Keintiman Suami Isteri.

Seminar yang julung kali diadakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (YPKT) adalah antara beberapa siri program lanjutan Program Perkahwinan Perdana yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh tiga tahun perkahwinan peserta.

Timbalan Pengarah YPKT, Ramlah Idris, berkata program berterusan yang dilaksanakan itu bertujuan mengurangkan kes perceraian di negeri ini yang semakin meningkat.

"Kurang pengetahuan mengenai keintiman menjadi penyumbang kepada faktor perceraian, selain, masalah kewangan, komunikasi dan tiada keserasian.

"Dahulu, tiada siapa yang mengajar dan memberi pendedahan sepenuhnya berkenaan ilmu rumah tangga terutama kepada mereka yang baru berkahwin.

"Malah, semua dipelajari sendiri pasangan melalui pengalaman. Ia kerana perkara sebegini dilihat sebagai suatu topik yang memalukan serta tidak dibincangkan secara terbuka," katanya kepada media selepas majlis penutupan seminar berkenaan di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ramlah berkata, sepanjang seminar berlangsung, pasangan didedahkan dengan teknik dan kaedah keintiman hubungan suami isteri, sekali gus dapat memberi bimbingan mengenai psikologi rumah tangga.

"Selepas ini, YPKT akan menganjurkan Program Bulan Madu Pertama untuk peserta terbabit," katanya.

Berita Harian X