Isnin, 8 Ogos 2016 | 9:53am

Tentera maut motosikal rempuh lori rosak

IPOH: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah lori rosak di Kilometer 321.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Tapah di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Mohamad Diniefaid Muhamad Pozi, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata nahas berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa tidak menyedari sebuah lori rosak diparkir di lorong kecemasan sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan terbabit.

"Akibat rempuhan itu, mangsa maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Somsak berkata, motosikal ditunggangi mangsa rosak teruk di bahagian hadapan manakala lori terbabit rosak di bahagian belakang sebelah kanan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X