Isnin, 8 Ogos 2016 | 10:46am

Olimpik: Pengurus olahraga Kenya dihantar pulang

RIO DE JANEIRO: Pasukan Kenya menghantar pulang pengurus olahraga mereka dari Olimpik Rio selepas tuduhan dia meminta wang daripada wartawan yang menyamar sebagai wakil atlet, untuk memaklumkan bila ujian doping akan dilakukan.

Michael Rotich bagaimanapun menafikan tuduhan yang didedahkan akhbar Britain, Sunday Times. Agensi Anti-Doping Kenya pula berkata mereka akan meneliti laporan itu sementara menteri sukan Kenya mempersoalkan mengapa rakaman rahsia yang dilakukan awal tahun ini didedahkan selepas bermulanya Olimpik.

"Jawatankuasa Olimpik (Kenya) sudah meminta dia meninggalkan Rio kerana kehadirannya bakal mengganggu pasukan," kata jurucakap IOC, Mark Adams.

"Ini adalah dakwaan yang sangat serius. Kami akan tunggu dan lihat bukti yang ada ... jika dia boleh buktikan apa yang dikatakannya dia boleh berikan."

Artikel akhbar Sunday Times berkata Rotich dirakam oleh wartawan yang menyamar beberapa bulan lalu, meminta duit sebagai tukaran bagi dia memberitahu sebarang ujian doping diadakan.

Reputasi Kenya tercalar dengan lebih daripada 40 kes doping dalam empat tahun lalu dan satu ketika penyertaan negara Timur Afrika itu di Olimpik Rio dilihat dalam bahaya.

Kenya sering menghasilkan pelari jarak sederhana dan jarak jauh dalam dekad ini dan berada di kedudukan teratas kejohanan olahraga dunia tahun lalu. - Reuters

Berita Harian X