Isnin, 8 Ogos 2016 | 11:02pm

Selepas Asia, bola jaring kebangsaan kini intai Sukan SEA


PASUKAN bola jaring negara tiba KLIA setelah muncul juara Kejohanan Bola Jaring Asia ke 10 selepas menewaskan Sri Lanka di Bangkok Thailand. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SEPANG: Gelaran juara Asia yang diraih pada Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10 di Bangkok, semalam adalah titik permulaan buat skuad kebangsaan mengintai pingat emas Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Aminah Asaari percaya kejayaan pasukan berkenaan menamatkan kemarau selama 31 tahun itu bakal menjadi penyuntik motivasi terbaik.

"Ini adalah permulaan baik dan memberi sinar baharu buat pasukan. Semoga kejayaan ini akan memberikan sokongan kuat dan motivasi kepada pemain untuk bergelar juara Sukan SEA 2017.

"Senarai pemain untuk Sukan SEA Kuala Lumpur belum dimuktamadkan tetapi untuk kejohanan Asia di Bangkok, 10 pemain pernah beraksi di Sukan SEA, Singapura tahun lalu bersama dua pemain baharu.

"Kita akan terus membuat pemilihan dan pada Oktober ini sebanyak 20 pemain terbaik akan memasuki fasa kedua latihan Sukan SEA. Ia akan dilakukan secara berperingkat hinggalah ke 12 pemain terakhir," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sejurus tiba dari Bangkok, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kejayaan di Bangkok, Aminah berkata ia adalah sejarah baharu buat sukan bola jaring di negara ini selain berjaya mencapai sasaran untuk merangkul kejuaraan saingan itu tahun ini.

Katanya, semangat setia kawan, saling bekerjasama, bantu membantu dan sikap saling mempercayai antara satu sama lain menjadi resepi kejayaan buat pasukan negara.

Sebagai rekod, pasukan bola jaring negara menamatkan kemarau 31 tahun untuk menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asia apabila menewaskan Sri Lanka 41-31 dalam perlawanan akhir, di Gimnasium Chanthanayingyong, Bangkok, semalam.

Kali terakhir Malaysia menjadi juara peringkat Asia pada 1985.

Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai Sri Langka, Singapura, Hong Kong, Thailand, Brunei, Taiwan, Maldives dan Jepun.

Berita Harian X