Rabu, 10 Ogos 2016 | 12:08am
ANTARA empat jenis produk di bawah syarikat Che Ta iaitu By RCW Empire.
CHE Ta mengakui keseronokan berniaga bermula apabila sering mendapat keuntungan bersih yang besar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Che Ta tak minat hasil iklan erotik lariskan produk


AKHIR-AKHIR ini, tidak kurang kes usahawan mengiklankan produk diniagakan mereka secara keterlaluan sehingga membuatkan orang ramai berasa kurang senang.

Malah, jika membabitkan produk feminin, terutamanya berkaitan penjagaan dalaman wanita atau jamu, sebahagiannya sanggup menggunakan kaedah pengiklanan yang dianggap erotik dan memualkan.

Pelakon, Rozita Che Wan menganggap ia sebagai taktik murahan untuk melariskan produk dan menjatuhkan maruah seseorang tanpa sedar.

Bagaimanapun, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 43, tidak berminat menggunakan cara sedemikian kerana ia hanya akan memperlihatkan produk keluarannya berkualiti rendah dan murah.

"Ada juga saya lihat beberapa iklan yang agak erotik, tetapi saya tidak berminat menggunakan cara promosi seperti itu.

"Saya tidak mahu produk saya nampak murahan jika melakukan promosi yang keterlaluan atau tampil dengan aksi kurang sopan. Mungkin ia akan menjadi viral, tetapi saya tak mahu produk yang dijual popular kerana pengiklanan sebegitu.


CHE Ta tidak berminat menggunakan cara yang memualkan untuk melariskan produknya.

"Secara tidak langsung masyarakat melihat produk saya itu murah. Bagaimanapun, ia terpulang kepada cara masing-masing," ujarnya kepada BH.

Rozita berkata demikian selepas ditanya mengenai strategi pemasaran yang digunakan oleh sesetengah peniaga dengan mengiklankan produk menggunakan aksi melampau sehingga ia menjadi viral.

Pelakon itu ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta Festival Fesyen Gegar Fest di ibu kota, baru-baru ini. Gegar Fest bakal diadakan pada 26 dan 27 Ogos depan di Stadium Negeri Kuala Terengganu. Ia turut membabitkan selebriti seperti Datuk Aznil Nawawi, Dafi, Jihan Muse, Sabhi Sadhi dan Ryzal Jaafar.

Empat jenis produk di bawah syarikat Rozita iaitu By RCW Empire yang akan dijual pada acara itu ialah minyak wangi, jus goyang rapat, pencuci goyang segar dan losyen putih ajaib.

Sementara itu, Rozita mengakui keseronokan berniaga bermula apabila sering mendapat keuntungan bersih yang besar. Malah beliau mampu meraih keuntungan bersih kira-kira RM80,000 sehari jika berniaga pada festival atau bazar.


CHE Ta tidak mahu produknya nampak murahan jika melakukan promosi yang keterlaluan atau tampil dengan aksi kurang sopan.


CHE Ta anggap kaedah pengiklanan yang dianggap erotik dan memualkan sebagai taktik murahan.

Ekoran keuntungan besar juga membuatkan beliau tidak mahu membuka kedai sendiri memandangkan ia menambahkan lagi kos modal.

"Cukuplah dengan adanya stokis yang dilantik serta melalui bazar yang disertai, kerana keuntungannya begitu memberangsangkan.

"Sebagai contoh, saya meletakkan sasaran berapa yang terjual, dan saya akan bekerja keras memastikan 'target' itu tercapai. Alhamdulillah, saya mampu meraih kira-kira RM80,000, untuk keuntungan bersih," ujarnya.

Ditanya apakah dirinya pernah berdepan kegagalan dalam perniagaan, kata Rozita, beliau akan cuba mengelak daripada sebarang kerugian dengan melakukan strategi perniagaan tersendiri.

"Saya tidak pernah rugi lagi setakat ini. Menjadi prinsip saya untuk mengambil risiko dengan cara yang tidak merugikan. Paling penting, kita perlu melakukan kajian sebaik mungkin terhadap produk yang dijual.

"Saya suka redah saja dan berusaha kuat sikit agar produk itu habis seperti yang dirancang," ujarnya.

80 dibaca
Berita Harian X