Rabu, 10 Ogos 2016 | 11:30am

Olimpik: Kami tak pandang papan markah - Pandelela


Penerjun negara, Pandelela Rinong Pamg (kiri) dan Cheong Jun Hoong memenangi pingat perak acara 10m platform serentak wanita di Pusat Aquatik Maria Lenk Rio. - Foto Rosli Rahmat

RIO DE JANEIRO: Tahap konsentrasi ratu terjun negara, Pandelela Rinong begitu utuh sehinggakan langsung tidak menoleh ke arah papan markah apabila kedudukan gandingan negara merosot seketika ke tangga ketiga acara 10 meter platform seirama.

Berganding bersama Cheong Jun Hoong, atlet dari Sarawak itu langsung tidak tergugat apabila pasangan Korea Utara, Kim Kuk Hyang dan Kim Mi Rae mengambil alih kedudukan kedua selepas terjunan ketiga.

"Kami fokus dengan terjunan kami dan tahu apa yang perlu dilakukan. Walaupun kedudukan mata dipaparkan di papan marah gergasi di seberang platform, kami langsung tidak memandang untuk mengetahui posisi semasa," kata Pandelela selepas membantu kontinjen negara meraih pingat perak Sukan Olimpik di sini hari ini.

Gandingan negara mengumpulkan 344.34 mata menerusi lima terjunan di Pusat Akuatik Maria Lenk, di belakang pasangan China, Chen Ruolin dan Liu Huixia yang mendapat 354 mata. Pasangan Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion pula mendapat pingat gangsa dengan 336.18 mata.

"Saya gembira kerana saingan di sini cukup sengit sehingga kami perlu memberikan semua yang dipelajari sewaktu latihan. Saya rasa kami mampu melakukan lebih baik," kata Pandelela, 23, yang akan beraksi dalam acara kegemarannya 10m platform individu pada 17 Ogos ini.

Mengenai gandingannya Jun Hoong yang berasal dari Perak, Pandelela berkata mereka telah menjalani latihan bersama hampir dua tahun tetapi kerap digandingkan dengan penerjun lain dalam kejohanan antarabangsa.

"Ini kali ketiga kami digandingkan dalam kejohanan antarabangsa," kata Pandelela yang sering digandingkan dengan Leong Mun Yee.

Menurutnya jurulatih pasukan sering menguji gandingan baharu sehingga berjaya mendapat hasil terbaik di Rio.

"Saya masih dalam proses pemulihan berikutan beberapa kecederaan yang dialami dan latihan di China berjaya digunakan sebaiknya di sini," katanya.

Pandelela pasti ada sebab lebih istimewa memberikan persembahan terbaik dalam acara 10m platform individu nanti kerana kedua-dua orang tuanya, Pamg Heng dan Harti Lamin serta abangnya, Pardika Inboma akan hadir di Rio untuk memberikan sokongan. - BERNAMA

Berita Harian X