Rabu, 10 Ogos 2016 | 3:07pm

Anggota PERHILITAN cedera diserang PATI dirawat di HOSHAH


MOHD Khairul dibawa menaiki helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh. - Foto Nazirul Roselan

TEMERLOH: Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang cedera ditetak pendatang asing tanpa izin (PATI) di Taman Negara Ulu Tembeling, Jerantut, Isnin lalu, dibawa keluar menaiki helikopter selepas 36 jam terkandas dalam hutan.

Mangsa, Mohd Khairul Azuan A Aziz, 29, dari FELDA Jerangau, Terengganu, cedera parah di muka dan tangan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, berkata mangsa ditetak PATI ketika operasi Rangkaian Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON) bersama PERHILITAN dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Operasi menyelamat menggunakan helikopter bermula jam 11 pagi tadi dan tiba di Temerloh sejam kemudian.

"Operasi menyelamat mangsa mengalami kesukaran disebabkan faktor muka bumi dan laluan yang hanya boleh menggunakan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Berita Harian X