Khamis, 11 Ogos 2016 | 11:30am

Kontrak CEO MRT dilanjut dua tahun

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar akan terus menerajui syarikat sehingga 31 Disember 2018, setelah kerajaan melanjutkan kontraknya selama dua tahun.

Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata kerajaan mengiktiraf usaha Shahril memimpin MRT Corp dengan baik.

"Kerajaan telah membuat keputusan bahawa kepimpinan berterusan Shahril dalam MRT Corp diperlukan untuk melihat kedua-dua fasa Laluan SBK (Laluan Sungai Buloh-Kajang) mula beroperasi pada Disember tahun ini dan Julai tahun depan," katanya dalam satu kenyataan.

Ali berkata pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) akan rancak dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan pengalaman Shahril akan memastikan cabaran yang dihadapi pada peringkat awal pembinaan diatasi.

Majlis pecah tanah bagi Laluan SSP itu dijadual berlangsung pada akhir Ogos 2016.

Shahril menerajui MRT Corp pada 1 Jan tahun lepas. Sebelum memegang jawatan itu, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. - BERNAMA

Berita Harian X