Khamis, 11 Ogos 2016 | 11:42am

Saya akan letak jawatan - Presiden PBSNT


Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

KUALA TERENGGANU: "Saya berjanji untuk melepaskan jawatan jika Terengganu gagal melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia. Itu janji saya dan akan kotakannya," kata Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu tetap dengan pendiriannya akan mengundur diri untuk memberi laluan kepada orang baharu menerajui PBSNT.

Begitupun, beliau yang juga pengurus pasukan mengakui kecewa apabila semua pihak menuding jari kepadanya di atas kegagalan dan kemerosotan Skuad Penyu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Kita menghadapi pelbagai masalah musim ini seperti kecederaan ramai tonggak utama dan kekangan kewangan yang sedikit sebanyak mengganggu perbelanjaan pasukan.

"Pemain sudah berusaha dan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan terbaik, namun malangnya gagal memperoleh kejayaan.

"Jadi, saya akan bertanggungjawab di atas kegagalan pasukan dan menunaikan janji saya," katanya kepada BH.

Skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahad yang berada dalam Kumpulan D kini berdepan penyingkiran daripada saingan Piala Malaysia apabila hanya meraih satu kemenangan dan tiga kekalahan dalam empat perlawanan.

Kelmarin, skuad Penyu tewas 0-1 di tangan Negeri Sembilan dalam perlawanan keempat di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Ditanya peluang Terengganu melangkah ke suku akhir, Wan Ahmad Nizam mengakui hanya keajaiban yang mampu dalam baki dua perlawanan dengan FELDA United dan Melaka United (MU).

"Kita mengharapkan pasukan ini melepasi peringkat kumpulan, tapi itu bukan satu kerja mudah kerana perlu melepasi halangan FELDA United dan MU," katanya.

Berita Harian X