Jumaat, 12 Ogos 2016 | 12:16pm

Malam penentu Sang Penyu


AHMAD Razif (kanan) meneliti fail persatuan selepas mesyuarat bersama PBSNT, semalam. Turut hadir, Wan Ahmad Nizam (kiri) dan Penolong Pengurus Pasukan Terengganu, Tuan Kecik Tuan Tengah (tengah). - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Amanat Ahmad Razif Abd Rahman menjadi suntikan moral buat skuad Penyu sebelum turun melayani FELDA United dalam aksi Kumpulan D kancah Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu kini memangku jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas penyandangnya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid meletak jawatan serta merta, semalam.

Ini kerana, skuad bimbingan pengendali sementara, Mustaffa Kamal Abdul Wahad kini berada dalam keadaan kritikal dan tersingkir awal dalam perebutan piala berprestij itu.

Pengendali Terengganu itu mengakui peluang untuk melayakkan diri ke suku akhir agak tipis, namun tidak mahu mengangkat bendera putih lebih awal.

Sekalipun menempuh dua baki perlawanan penuh berliku, Mustaffa masih menaruh harapan tinggi untuk membawa Terengganu melangkah ke pusingan kalah mati Piala Malaysia.

"Peluang masih ada, tapi dengan syarat kita wajib menang dalam dua baki perlawanan dan mengharapkan FELDA United menewaskan Negeri Sembilan dalam aksi terakhir nanti.

"Jadi, amanat yang diberikan pemangku Presiden PBSNT, Ahmad Razif diharap dapat membantu menyuntik semangat pemain meraih kejayaan ke atas FELDA United, malam ini," katanya kepada BH Online.

Semalam, Wan Ahmad Nizam melepaskan jawatan yang disandang sejak 2013 itu selepas bertanggungjawab diatas kemerosotan skuad Penyu dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ditanya peluang kekal beraksi dalam Liga Super musim depan, Mustaffa Kamal berkata dia akan berusaha dengan kekuatan pemain yang ada dalam baki lima perlawanan liga.

Berita Harian X