Ahad, 14 Ogos 2016 | 12:20am
INTAN mula menyertai pertandingan nyanyian sejak usia sembilan tahun dan pada usia 17 tahun, menandatangani kontrak bersama Warner Music. - Foto Adi Safri
INTAN dan suami, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee.
SUAMI Intan, Iskandar Ezzahuddin antara insan yang tidak pernah jemu meniupkan kata semangat apabila dirinya berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian. - Foto Instagram
INTAN kini dalam proses menghasilkan single baharu berjudul Aku Rindu.

'Dakwaan rumah tangga retak tidak berasas' - Intan Sarafina


HAMPIR 10 tahun menyepi, kemunculan semula Intan Sarafina, 35, dalam pertandingan Super Karoks yang diperkenalkan stesen radio Kool FM bersama Elyana membentuk Hey Ladies menarik perhatian ramai untuk mengetahui perkembangan terkini penyanyi yang pernah popular dengan lagu Duhai Malam itu.

Usaha pemilik nama lengkap, Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya itu membuahkan hasil apabila Hey Ladies diangkat pendengar sebagai juara pada pagi kelmarin, mengetepikan empat pesaing mereka sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Di sebalik permulaan yang manis itu, kemunculan semula Intan turut diiringi desas-desus kurang enak. Ada yang mengandaikan, percubaan Intan untuk mengembalikan semula popularitinya disebabkan dirinya sedang berdepan dengan masalah rumah tangga.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, Intan berkata, rumah tangganya yang dibina sejak tahun 2008 masih utuh malah hubungannya dan suami, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee juga tiada masalah.

Menguatkan lagi kenyataannya itu, Intan berkata, suaminya antara insan yang tidak pernah jemu meniupkan kata semangat apabila dirinya berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.


INTAN Sarafina (kiri) dan Elyana yang membentuk kumpulan Hey Ladies menjuarai Super Karoks. - Foto Adi Safri

"Tidak sangka pula penyanyi yang sudah lama menyepi dan tiba-tiba kembali aktif akan dikaitkan mempunyai masalah rumah tangga. Alhamdulillah, saya dan suami bahagia malah, perkahwinan kami juga tiada masalah. Selepas bernikah dulu, suami tidak pernah meminta saya meninggalkan dunia seni.

"Dia juga tidak menghalang jika saya ingin meneruskan minat itu, tetapi saya yang memilih untuk memperlahankan seketika aktiviti nyanyian kerana hamil anak sulung. Selepas menjadi ibu, saya cuba memberikan tumpuan penuh kepada keluarga.

"Ditambah pula, perkahwinan kami dikurniakan tiga anak lelaki yang mempunyai kerenah tersendiri menyebabkan saya terpaksa melupakan dulu hasrat untuk kembali menyanyi. Jangan mudah terpengaruh dengan apa yang didengar kerana gosip itu langsung tidak berasas," katanya.

Intan berkata, keputusan untuk memperlahankan kerjaya nyanyian dibuat disebabkan dirinya sudah terlalu penat berkejar ke sana sini ketika namanya sedang meniti puncak. Kesibukannya dulu membuatkan Intan tidak mempunyai banyak masa untuk diri sendiri.

"Saya mula menyertai pertandingan nyanyian sejak usia sembilan tahun dan pada usia 17 tahun, saya menandatangani kontrak bersama Warner Music. Sepanjang tempoh itu, saya sempat menghasilkan tiga album selain mencuba bakat sebagai pelakon. Alhamdulillah, percubaan saya berhasil apabila album mendapat sambutan.


KEPUTUSAN Intan untuk memperlahankan kerjaya nyanyian dibuat disebabkan dirinya sudah terlalu penat berkejar ke sana sini ketika namanya sedang meniti puncak. - Foto Adi Safri

"Biarpun masih diterima, saya memilih untuk berehat kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga. Tetapi apabila melihat anak yang semakin membesar dan sudah boleh berdikari, saya yakin dapat membahagikan sedikit masa untuk merencana semula langkah dalam bidang seni.

"Saya bertuah tinggal bersama mentua, jadi saya tidak risau untuk meninggalkan mereka di rumah kerana ada yang mengawasi.

Tidak timbul langsung isu saya kembali menyanyi kerana mempunyai masalah rumah tangga. Minta dijauhkan Allah kerana saya menyanyi atas kemahuan sendiri selain mendapat sokongan padu suami," katanya.

Intan dan Iskandar bernikah pada 17 Oktober 2008. Pasangan bahagia ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Evan Raez, 6, Megat Israfil Raez, 4 dan Megat Noah Rais, setahun lapan bulan.

Kemunculan semula Intan juga bukan dengan tangan kosong kerana penyanyi ini dalam proses menghasilkan single baharu. Intan mendapatkan khidmat komposer Tam Spider dan penulis lirik Iman Imran untuk single yang diberi judul Aku Rindu.


PERKONGSIAN hidup Intan dan suaminya dikurniakan tiga anak lelaki. - Foto Instagram

"Penyertaan saya dalam Super Karoks itu dianggap sebagai landasan terbaik untuk memaklumkan kepada peminat saya sudah bersedia kembali. Diikutkan, proses penghasilan single itu sudah berjalan sebelum saya menyertai pertandingan ini. Syukur kerana permulaan langkah saya dipermudahkan.

"Peminat mula menyedari saya masih menyanyi, malah sentiasa bertanya mengenai lagu terbaharu. Dari situ, timbul keinginan untuk menghasilkan single sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa menyokong langkah saya.

Aku Rindu juga menjadi simbolik kerinduan saya untuk memeriahkan semula industri muzik selepas agak lama mendiamkan diri," katanya yang pernah menghasilkan tiga album iaitu Kembali pada tahun 2000 disusuli Dua dan Suara Hati.

34 dibaca
Berita Harian X