Ahad, 14 Ogos 2016 | 12:24am
PENYERANG lincah, Hassan Sani (kiri) melayangkan badan ketika melakukan tandukan pada pertemuan bola sepak Sukan SEA antara Malaysia dengan Indonesia, pada 30 September 1979. - Foto fail NSTP
HASSAN Sani (kanan) ketika ditemubual wartawan menceritakan semangat 1Malaysia serta perpaduan tinggi dalam kalangan pemain antara faktor kekuatan pasukan bola sepak negara yang berjaya layak ke Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980. - Foto Edmund Samunting

Jejak Wira Olimpik 1980 : 'The Hurricane' pecahkan tembok Korea Selatan


KOTA KINABALU: Semangat perpaduan tinggi dalam kalangan pemain adalah faktor kekuatan serta penentu kejayaan pasukan bola sepak negara yang layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980.

Hakikat itu diakui bekas penyerang Malaysia, Hassan Sani yang menegaskan skuad kebangsaan ketika itu dibarisi pemain daripada pelbagai kaum dan agama.

"Pada waktu itu, semangat '1Malaysia' benar-benar wujud dalam pasukan, pemain berbangsa Melayu, Cina, India malah dari kaum Sikh juga ada.

"Kami seperti satu keluarga, makan, tidur bersama-sama. Namun, apa yang paling penting, kalah atau menang kami tetap bersama," kata bekas pemain kebanggaan Sabah yang kini berusia 58 tahun ketika ditemui di sini.

Pada tahun 1980, Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya layak ke Sukan Olimpik di Moscow selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi final pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Merdeka.


PENGADIL dari Korea Selatan, Choi Gil Su melayangkan kad kuning kepada pemain lawan selepas mengasari Hassan Sani pada perlawanan Pestabola Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pada Ogos 1984. - Foto fail NSTP

Antara barisan pemain negara ketika itu termasuk mendiang R Arumugam, Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, Abdullah Ali, Abdah Alif, Hassan Sani, dan James Wong.

Mengimbau detik bersejarah perlawanan sengit menentang Korea Selatan itu, Hassan mengakui gerakan solonya sehingga menghasilkan gol kemenangan buat Malaysia pada perlawanan itu adalah kenangan paling manis dalam hidupnya.

Detik manis berkenaan tercipta apabila bola hantaran hasil tandukan Khalid Ali jatuh tepat di kaki Hassan.

Pemain yang pernah digelar 'lipas kudung' kerana kepantasannya itu kemudian melakukan larian solo menewaskan tiga pertahanan lawan, sebelum menghantar bola tepat kepada James atau 'King James' yang menjaringkan gol kemenangan.

"Sebelum kami mendapat gol kemenangan, saya sempat melihat 'scoreboard' dan nampak masa hanya berbaki kurang lima minit.

"Ketika itu, Korea Selatan mendapat sepakan percuma dan dalam fikiran saya waktu itu, sekiranya mendapat bola, saya akan melakukan gerakan solo.


AKSI Hassan Sani (tengah) memerhatikan bola rembatannya yang gagal ditangkap penjaga gol Papua New Guinea, Gregory Esikel pada saingan Pestabola Merdeka pada September 1984. - Foto fail NSTP

"Ia benar-benar berlaku, saya mendapat bola dan terus bergerak ke kawasan lawan menewaskan tiga pemain Korea dan saya nampak James tidak dikawal di sebelah kiri lalu menghantar bola kepadanya. James menyempurnakan peluang itu untuk jaringan kemenangan Malaysia," katanya.

Tambah Hassan, dia sebenarnya boleh mencipta jaringan sendiri pada waktu itu namun melihat James berada pada kedudukan lebih baik untuk melakukan penyudah.

"Ramai orang bertanya, kenapa saya tidak terus cuba untuk menghasilkan jaringan selepas menggelecek tiga pertahanan ketika itu," katanya yang turut popular dengan gelaran The Hurricane' kerana keupayaan mengucar kacirkan pertahanan lawan.

"Jawapan saya sangat mudah, kami bermain sebagai satu pasukan, sesiapapun yang menjaringkan gol tidak penting, apa yang lebih penting ialah kemenangan pasukan," kata Hassan yang kini Penolong Pengurus skuad Liga Perdana Sabah bersama rakan seperjuangannya, James.

Tiket Olimpik penawar duka


PEMAIN Malaysia, Mokhtar Dahari (kiri) dan Hassan Sani (kanan) ketika beraksi menentang Burma pada perlawanan Sukan SEA 1979 di Jakarta, Indonesia. - Foto fail NSTP

Hassan Sani, mengakui sangat kecewa apabila tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980.

Skuad negara ketika itu mencipta sejarah apabila berjaya layak ke Sukan Olimpik selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi final pusingan kelayakan yang berlangsung pada 4 April 1980 di Stadium Merdeka.

"Kami main bermati-matian untuk layak ke Sukan Olimpik terutama ketika bertemu Korea Selatan pada perlawanan akhir pusingan kelayakan sebelum itu.

"Sebaik menerima berita pasukan Malaysia tidak akan ke Moscow, saya berasa sangat sedih dan kecewa," kata bekas pemain yang kini berusia 58 tahun itu.

Malaysia membuat keputusan untuk memboikot Sukan Olimpik di Moscow kerana membantah tindakan Soviet Union yang menceroboh Afghanistan.


BEKAS penyerang Malaysia era 80-an, Hassan Sani. - Foto Edmund Samunting

Sementara itu, Hassan yang pernah beraksi bersama skuad Kuala Lumpur pada tahun 1985 hingga 1987, berharap akan sempat menyaksikan pasukan bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik buat kali ketiga.

"Harapan saya, mudah-mudahan suatu hari nanti Malaysia sekali lagi akan ke Olimpik... saya doakan itu.

"Kepada pemain yang dipanggil untuk berkhidmat kepada negara, saya nasihatkan supaya tidak mensia-siakan peluang diberikan... anda sebenarnya bertuah sekiranya dipanggil mewakili Malaysia kerana ramai pemain di luar sana yang mahukannya," katanya.

Bahkan, pemain yang terkenal dengan gelaran 'kipas kudung' kerana kepantasan larian serta kemahiran menggelecek itu sentiasa bersedia untuk 'menurunkan' segala ilmu serta pengalamannya kepada pemain muda.

"Sebagai bekas pemain Malaysia, pasti saya ingin melihat bola sepak kita maju dan pemain muda kitalah yang akan menyambung harapan peminat.

"Saya harap pemain yang diberi kepercayaan mewakili negara akan merasai semula apa yang kami capai dulu," katanya.

Fakta nombor:

1972 - Skuad bola sepak Malaysia layak kali pertama ke Olimpik Jerman Barat

1980 - Malaysia layak kali kedua ke Sukan Olimpik tetapi menari diri

36 tahun, kemarau kejayaan layak ke Olimpik

Berita Harian X