Isnin, 15 Ogos 2016 | 12:27am

40 peratus wanita hamil ditindas majikan


Kuala Lumpur: Kira-kira 40 peratus daripada 222 wanita hamil dalam sektor swasta seluruh negara yang dikaji, mengaku menjadi mangsa diskriminasi dan penindasan majikan termasuk dibuang kerja, sepanjang kerjaya masing-masing.

Kajian yang dijalankan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) sepanjang April lalu, mendapati antara diskriminasi dialami mereka, termasuk disekat kenaikan pangkat, diberhentikan kerja dan tempoh percubaan dilanjutkan.

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan, berkata situasi itu sewajarnya dipandang serius oleh kerajaan dengan menggubal undang-undang berkaitan kesaksamaan jantina bagi memastikan semua wanita dilindungi daripada apa saja bentuk diskriminasi di tempat kerja.

Beliau menegaskan, majikan tidak sewajarnya mendiskriminasi wanita mengandung dalam pekerjaan kerana mereka mempunyai hak memperoleh cahaya mata bagi membina institusi kekeluargaan.

Katanya, adalah malang apabila bentuk diskriminasi itu boleh dilihat seawal proses permohonan kerja, apabila ada majikan mengajukan soalan, sama ada mangsa yang sudah berumah tangga mempunyai perancangan untuk mengandung.


KIRA-KIRA 40 peratus daripada 222 wanita hamil dalam sektor swasta dari seluruh negara, yang dikaji sepanjang April lalu, dikesan menjadi mangsa diskriminasi dan penindasan termasuk dibuang kerja. - Foto hiasan

"Setakat ini, negara kita tidak mempunyai undang-undang yang mengharamkan soalan temu duga berbentuk diskriminasi.

"Jadi jika berlaku diskriminasi, wanita tidak tahu platform untuk mendapatkan keadilan dan bimbang dikenakan tindakan," katanya kepada BH, semalam.

Sumitra menegaskan, wanita tidak seharusnya takut kehilangan pekerjaan disebabkan mempunyai anak, manakala pembuat dasar pula perlu mematuhi undang-undang buruh dan tidak sewenang-wenangnya mendiskriminasi wanita hamil.

"Justeru, WAO sedia memberi bantuan dan khidmat nasihat kepada wanita mengandung yang mengalami diskriminasi di tempat kerja.

"WAO mencadangkan supaya kerajaan menggubal undang-undang seperti di Amerika Syarikat yang menguatkuasakan Akta Diskriminasi Kehamilan, bagi memastikan semua wanita dilindungi dalam apa saja bentuk diskriminasi di tempat kerja," katanya.


WANITA hamil tidak seharusnya takut kehilangan pekerjaan disebabkan mempunyai anak. - Foto hiasan

Beliau berkata, pihaknya juga meningkatkan kesedaran wanita terhadap hak mereka mengikut Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan dan Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, berkata masih ramai wanita tidak mengetahui saluran tepat untuk membuat aduan jika berlaku diskriminasi dalam pekerjaan.

Katanya, jika ada yang tahu, wanita terbabit lebih suka mendiamkan diri daripada membuat aduan disebabkan perasaan malu yang menebal dalam diri.

"Wanita beranggapan diskriminasi di tempat kerja seperti isu hamil bersifat peribadi atau sensitif untuk diketahui oleh orang lain. Pegangan kuat terhadap adat dan budaya timur menjadikan wanita negara ini lebih selesa memendam rasa dan enggan berkongsi masalah serta menjaga nama baik keluarga.

"Sedangkan banyak saluran untuk mengenengahkan masalah, iaitu bermula di peringkat syarikat menerusi kesatuan sekerja dan jabatan sumber manusia.

"Malah, jika masih tidak berpuas hati mereka boleh mengadu di Jabatan Tenaga Rakyat, Kementerian Sumber Manusia, selain tindakan undang-undang,," katanya.


ANTARA cara diskriminasi dialami wanita hamil termasuk disekat kenaikan pangkat, diberhentikan kerja dan tempoh percubaan dilanjutkan. - Foto hiasan

INFO:

Diskriminasi wanita hamil

1. Akta Diskriminasi Kehamilan (PDA) - diamalkan di Amerika Syarikat

# Melindungi hak wanita di tempat kerja

# Sama rata hak dengan pekerja lain

2. Majikan tiada hak diskriminasi :

# Gaji

# Tugasan kerja

# Kenaikan pangkat

# Latihan

# Dibuang kerja

3. Jika berlaku diskriminasi ketika hamil

* Buat aduan di Jabatan Sumber Manusia atau Pejabat Perhubungan Perusahaan

* Boleh dibicarakan di Mahkamah Perusahaan

* Boleh didakwa mengikut Akta Kerja 1955 Akta Perhubungan Perusahaan 1967

FAKTA: Dapatan kajian WAO

# 1 daripada 8 wanita hamil dibuang kerja

# 20 peratus permohonan kerja wanita ditolak atau dibatalkan selepas kehamilan mereka diketahui

# 30 peratus wanita bekerja, terpaksa melambatkan kehamilan kerana bimbang hilang pekerjaan atau kenaikan pangkat.

Berita Harian X